BUTTERWORTH: Kontraktor dan pemaju utama projek penyelenggaraan Dewan Dato' Haji Ahmad Badawi diberi tempoh dua minggu bagi menyiapkan laporan penuh kejadian runtuhan siling dan bumbung bangunan itu.
Dalam kejadian jam 10.40 pagi tadi, struktur utama bumbung dan siling dewan berkenaan runtuh ketika enam pekerja sedang melakukan kerja baik pulih kebocoran yang berlaku di situ.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud, berkata dewan itu masih dalam tempoh tanggungan kecacatan sehingga 13 Mac 2020.
Tegasnya, pihaknya sudah berhubung dengan pihak pemaju dan kontraktor utama bangunan bagi mendapatkan laporan penuh kejadian.
Dewan yang sudah 18 tahun dibina itu dinaik taraf pada 2017 dan selesai pada 14 Mac lalu sebelum diserahkan kepada MBSP pada 16 Julai.
“Projek naik taraf ini diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kos naik taraf RM4.4 juta.
“Bangunan ini dinaik taraf dengan menggantikan bumbung termasuk kerangka, dewan utama, bilik, padang, kerja elektrikal, mekanikal dan landskap,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke dewan berkenaan, hari ini.
Rozali berkata, dewan berkenaan adalah tempat tumpuan awam dan sering menjadi lokasi majlis keramaian selain program sambutan anjuran pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri.
“Kompleks dewan terpaksa ditutup bagi kegunaan majlis dan program yang sudah diatur dan buat sementara sebarang penganjuran program akan dianjurkan di padang bersebelahan dengan pihak MBSP akan menyediakan khemah bagi tujuan itu,” katanya.
Beliau menjangkakan kerja pembaikan runtuhan itu akan mengambil masa tujuh hari selain punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.
Sumber: Berita Harian
Comments