top of page

Kontraktor cemerlang dipertimbang untuk projek kerajaan


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) turut bergotong-royong pada Program CSR bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Konsensi Jalan Persekutuan bagi kesiapsiagaan monsun timur laut di Jalan FT005 Jalan Jelapang Ipoh Ayer Tawar, Seri Iskandar. - BERNAMA

SERI ISKANDAR: Kontraktor yang cemerlang menyiapkan projek mengikut tempoh dan kualiti ditetapkan, wajar dipertimbang untuk perolehan projek kerajaan pada masa hadapan.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta menyiapkan laporan prestasi kontraktor dan memasukkan syarikat terbukti cemerlang dalam senarai kontraktor berwibawa.


Katanya, inisiatif itu diharap menjadi penggalak kepada syarikat kontraktor supaya menyelesaikan pembangunan yang dianugerah dengan bertanggungjawab.


"Ini tanda menghargai kontraktor cemerlang dalam melaksanakan projek, siap tepat pada masanya, kualiti kerja baik dan mematuhi kos ditetapkan.


"Ambil perhatian syarikat kontraktor ini untuk mengambil bahagian dalam tender akan datang, mungkin itu jadi satu point (markah) baik untuk mereka.


"Bukan semestinya kita bagi (projek) pada mereka, itu terpulang kepada syarat yang mesti dipenuhi kerana menerusi proses tender terbuka, kita melihat harga yang dibida," katanya.


Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi persiapsiagaan Monsun Timur Laut di Jalan Jelapang-Ipoh-Ayer Tawar di sini, hari ini.


Beliau mengulas kejayaan syarikat kontraktor projek pembinaan Hospital Seri Iskandar bernilai RM153.18 juta yang siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun tanpa lanjutan masa (EOT).


Terdahulu, beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menghadiri Majlis Penyerahan Projek Hospital Seri Iskandar yang akan mula beroperasi 11 Disember ini.


Mengulas mengenai program CSR itu, Alexander berkata, JKR bersama syarikat konsesi, Belati Wangsa Sdn Bhd, melaksanakan kerja membersih weep hole, tepi bebendul jalan, mencuci longkang dan mengutip sampah-sarap di kiri dan kanan lokasi pilihan.


"Longkang tepi jalan di kiri dan kanan jalan ini adalah daripada jenis U Shape Concrete Drain 900 milimeter.


"Lokasi ini dipilih kerana sering berlaku banjir kilat apabila hujan lebat luar biasa," katanya.


Kommentare


bottom of page