top of page

Kontraktor binaan maut ditembak 5 das dari jarak dekat


Kontraktor binaan maut ditembak 5 das dari jarak dekat

PULAU PINANG 14 Jan. - Seorang kontraktor binaan maut selepas ditembak lima das di bahagian badan dan kepala dalam kejadian di tempat letak kenderaan Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBLP), Jalan Patani di sini tengah malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Muhammad Nazrulhisyam Mohamed Meera, 27, ditembak dari jarak dekat iaitu kira-kira tiga meter oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal.


Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, ketika kejadian, mangsa yang juga seorang kontraktor pembinaan sedang berbual-bual bersama lima rakannya serta bapa saudaranya di bawah flat berkenaan.


Bagaimanapun, katanya, dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha LC 135 berwarna gelap dan memakai topi keledar bertutup penuh gelap secara tiba-tiba datang dari arah belakang mangsa.


"Menurut saksi, sebaik sahaja menghampiri mangsa, salah seorang suspek turun daripada motosikal dan melepaskan tembakan di bahagian kepala dan badan mangsa.


"Akibatnya, mangsa terbaring di atas lantai dan suspek masih bertindak melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Menurut beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.48 tengah malam tadi.


Tambahnya, polis kini sedang giat memburu suspek dan menentukan motif sebenar kejadian dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sumber: Utusan


Comments


bottom of page