top of page

Kontrak pembinaan infrastruktur berpotensi cecah lebih RM50 bilion



Kontrak pembinaan infrastruktur yang dianugerahkan pada tahun ini boleh melebihi RM40 bilion, dengan potensi melepasi RM50 bilion yang sekali gus menandakan paras paling tinggi sejak 2016, demikian menurut penganalisis.


Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata, projek pembangunan di pusat data dan wilayah ekonomi Johor masih mempunyai ruang berkembang, walaupun terdapat penurunan berturut-turut pemberian kontrak pusat data pada suku kedua 2024.


"Minat pelabur terhadap ledakan pusat data akan terus memacu penarafan semula sektor ini. Penilaian pada tahap semasa masih menyediakan ruang untuk ia meningkat," kata bank pelaburan itu.


HLIB mengekalkan saranan 'wajaran tinggi' terhadap sektor pembinaan.


Gamuda Bhd dan cabang pembinaan Sunway Bhd muncul sebagai pilihan utama HLIB kerana kedua-dua syarikat mempunyai projek dalam tangan yang kukuh dan berada dalam fasa kitaran naik pendapatan.


Menurut HLIB, Malaysia menyaksikan sebanyak RM11.2 bilion penganugerahan kontrak domestik pada suku ketiga 2024, menjadikan nilai terkumpul setakat sembilan bulan tahun ini kepada RM31.9 bilion.


Daripada jumlah ini, 42 peratus dikaitkan dengan projek awam, kata bank pelaburan itu.


Katanya, lebih banyak projek awam mungkin dilaksanakan pada suku keempat 2024, mengambil petunjuk daripada penganugerahan pada suku ketiga 2024 seperti pakej kerja daripada projek Lingkaran Jalan Sarawak-Sabah Fasa 2 dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah 1B.


"Kontrak berpotensi di Malaysia Timur termasuk projek hidro Sabah, Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan projek Rangkaian Jalan Sabah-Sarawak Fasa 2," katanya.


HLIB berkata, di Semenanjung Malaysia pula, penganugerahan kontrak tertumpu kepada projek aliran transit ringan (LRT) Pulau Pinang, kerja lapangan terbang Pulau Pinang, projek infrastruktur sektor air dan kerja pusat data yang sedikit perlahan pada suku ketiga.


Sementara itu, perkembangan LRT Johor dan kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura juga boleh melonjakkan sentimen dalam sektor pembinaan.


"Kami melihat projek LRT Johor sebagai sistem penyuraian yang penting bagi RTS (Sistem Transit Johor-Singapura) dan usaha untuk menghidupkan semula Johor memerlukan infrastruktir penyambungan kapasiti tinggi untuk kawasan Johor Bahru yang lebih besar," kata HLIB.


Comments


bottom of page