KUALA LUMPUR: Privasia Technology Bhd (Privasia) mengumumkan bahawa usaha samanya dengan APEX Communications Sdn Bhd (APEX), melalui Konsortium Apex-Privasat memperoleh dua kontrak bernilai RM1.2 bilion daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).
Privasia ialah penyedia perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi serta rangkaian berasaskan satelit.
Kontrak itu memerlukan pemasangan gentian optik dan penyelenggaraan infrastruktur gentian optik di sekolah, kawasan kediaman dan premis perniagaan, komersial dan perindustrian di bawah Fasa 2 pengembangan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah titik kehadiran (PoP).
Kontrak akan meliputi wilayah selatan (Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor) dan wilayah utara (Kedah dan Perak) yang masing-masing bernilai RM627.2 juta dan RM617.5 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, dan aset bersih Privasia bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, dan seterusnya.
Tempoh kontrak adalah selama 96 bulan, dan pelaksanaannya hendaklah diselesaikan dalam 36 bulan dan diikuti dengan tempoh jaminan selama 60 bulan.
Projek ini dijangka mengukuhkan nilai perolehan sedia ada Privasia, yang kini berjumlah RM50.3 juta (tidak termasuk kontrak ini).
Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama, Pengerusi Eksekutif APEX, Tan Sri Abdullah Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah Urusan Kumpulan Privasia, Datuk Puvanesan Subenthiran, berkata: "kami amat percaya infrastruktur teknologi komunikasi maklumat yang kukuh mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Projek PoP akan merapatkan jurang kesalinghubungan dan mobiliti antara kawasan luar bandar dan bandar, terutamanya apabila dianggarkan sekurang-kurangnya 432,300 premis akan mempunyai perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sebaik sahaja kedua-dua Fasa 1 dan 2 siap menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12 pada 2025," tambah kedua-dua pihak itu.
Sumber: Berita Harian
Comentarios