top of page

Konsep konsesi bunuh 40,000 kontraktor G1


kontraktor G1 atau Kelas F
NASIB kontraktor G1 yang cukup tertekan ekoran isu konsesi serta kenaikan harga barang. - UTUSAN/AFIQ RAZALI

kontraktor G1 atau Kelas F

KUANTAN: Tindakan kerajaan-kerajaan negeri melantik syarikat konsesi sebagai pengurus projek boleh ‘membunuh’ kira-kira 40,000 kontraktor G1 atau Kelas F di seluruh negara menerusi kaedah monopoli sekali gus menindas golongan itu.


Difahamkan, ketika ini terdapat antara tiga hingga tujuh syarikat konsesi di setiap negeri yang memonopoli projek membabitkan jalan raya dan cerun bernilai bawah RM200,000.


Jika kerajaan atau pihak berwajib tidak mengambil tindakan sewajarnya, periuk nasi kontraktor G1 akan tertutup kerana konsesi dianggap sebagai ‘jerung’ yang boleh ‘membunuh’ kerjaya mereka.


Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar berkata, isu konsesi bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama menjadi ‘bom jangka’ yang bila-bila masa boleh menamatkan riwayat kontraktor G1.


Beliau berkata, isu ini berlaku di seluruh negara dan semua 40,000 kontraktor G1 cukup terkesan dengan berada dalam keadaan suram ekoran kekurangan projek.


Kaanya, dianggarkan setiap negeri di seluruh negara mempunyai antara tiga hingga tujuh syarikat konsesi untuk projek-projek berkaitan jalan raya dan cerun.


“Seluruh negara semua alami perkara sama iaitu monopoli oleh konsesi. Cumanya di negeri lain tidak banyak konsesi sepertimana Pahang.


“Di negeri ini ada tujuh konsesi, enam konsesi jalan raya dan satu konsesi cerun. Jadi, memang semua projek dimonopoli oleh konsesi terbabit.


“Syarikat konsesi sepatutnya mengamalkan konsep payung, tetapi projek ditawarkan hanya berputar dalam kalangan kontraktor kenalan atau kroni, ia tidak terbuka,” katanya di sini semalam.


Norhamila berkata, kontraktor tiada kuasa untuk menghentikan perkara itu namun syarikat konsesi sepatutnya berlaku adil kepada mereka.


“Sepatutnya, syarikat konsesi beri 30 peratus projek kepada kita (Perkobf Pahang), tapi langsung tiada.


“Kita langsung tidak diberikan peluang oleh syarikat konsesi di negeri ini. Yang dapat hanya kroni. Jadi, bagaimana nasib hampir 7,000 kontraktor G1 di negeri ini,” soalnya.


Beliau berharap amalan melantik syarikat konsesi diteliti semula malah perlu dibawa ke pihak yang berwajib supaya pemberian projek diberikansecara telus dan saksama.


Jika tidak katanya, nasib 40,000 kontraktor G1 di negara ini dan hampir 7,000 di Pahang terus malap serta bakal terkubur.


“Kontraktor G1 ketika ini cukup tertekan, bukan sahaja dengan isu konsesi malah kenaikan harga barang dan lambakan lesen kontraktor Kelas F. Tiga perkara ini cukup menekan kita.


“Jika tidak diatasi segera oleh kerajaan, tiga perkara ini boleh membunuh kontraktor G1.


Sebagai contoh, syarikat konsesi mereka ‘jerung’ yang ditakuti,” katanya.


Sementara itu, seorang kontraktor G1, Mohd. Yusri Abd. Majid berkata, seharusnya isu konsesi diteliti secara mendalam memandangkan negara masih mempunyai ribuan kontraktor bumiputera yang berkemahiran tinggi.


Beliau berkata, kontraktor berkenaan seharusnya diberikan peluang mengendalikan projek yang dikeluarkan kerajaan.


“Seandainya kerajaan masih menganaktirikan kontraktor bumiputera khususnya G1, siapa lagi yang akan membela nasib kami?


“Kontraktor G1 makin ramai, kini 40,000 orang, tapi projek kurang dan jika ada pun ia dimonopoli oleh syarikat konsesi. Kami pun hendak cari makan, ada keluarga yang hendak disara dan hutang setiap bulan yang perlu dibayar,” katanya.


Sumber: Utusan


Comments


bottom of page