SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedar projek pemacu perubahan Stadium Shah Alam akan menggamit nostalgia dan emosi terutama penyokong pasukan Merah Kuning.
Namun, kerajaan negeri berpandangan, sudah tiba masanya stadium dan lingkungannya diberi nafas baharu.
Justeru, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Projek Pembangunan Semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) adalah untuk membina stadium kalis usang atau ‘futureproof’ stadium dan fasiliti sukan yang menerapkan ciri-ciri teknologi terbaharu serta pelaksanaan pembangunan dan kelestarian persekitaran.
Katanya, kerajaan negeri mengenal pasti faktor utama kejayaan projek itu antaranya prestasi pemaju dalam menyiapkan stadium dan fasiliti sukan, kerjasama dan koordinasi bersama pihak berkepentingan dalam memastikan keperluan Selangor dipenuhi.
“Untuk projek pembangunan KSSA ini kita menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion hingga RM13 bilion,” katanya ketika membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, petang ini.
Beliau turut menyentuh mengenai Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang bermula dengan tujuh inisiatif sepanjang kerajaan negeri di bawah Pakatan rakyat (PR) dan kemudian Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, program itu dilaksanakan dengan matlamat berkongsi hasil negeri dengan rakyat dan membantu mereka mengharungi kemelesetan ekonomi ketika itu.
“Setelah itu, program MES diperkemas dan dikembangkan menjadi 36 inisiatif di bawah kerangka Inisiatif Peduli Rakyat.
“Pada 2019, kita telah memperkemas, menambah baik dan menjajarkan program serta inisiatif di bawah Inisiatif Peduli Rakyat dan pada 2021, mengumumkan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).
“Menerusi ISP ini, sebanyak 44 program iaitu kesinambungan kepada MES diteruskan bagi melengkapkan ekosistem program kebajikan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, ISP turut dirangka dengan mengambil kira faktor kemelesetan ekonomi pasca pandemik dan mengkhususkan konsep dari kebajikan kepada pemerkasaan.
Katanya, ISP adalah tawaran baharu kedua kerajaan negeri bagi membantu memperkukuhkan kitaran sosioekonomi, menambah baik kehidupan rakyat Selangor menerusi program kebajikan dan memberi fokus kepada golongan rentan bangkit setelah dihimpit pandemik dan masalah ekonomi.
Menurut Amirudin menerusi RS-1 juga kerajaan negeri mengenal pasti enam bidang tumpuan utama yang memberi impak kepada kesejahteraan rakyat.
Enam bidang itu ialah penjanaan pendapatan dan kebajikan sosial, tumpuan khas terhadap kumpulan sasar seperti belia, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta wanita, keluarga dan masyarakat.
Tiga bidang lagi ialah penjagaan kesihatan, perumahan mampu milik dan pendidikan.
Isu banjir juga menjadi tumpuan dalam RS-1, yang mana kerajaan negeri telah menggariskan beberapa penambahbaikan ke atas program sedia ada serta penambahan inisiatif baharu.
Antaranya, kata Amirudin, penambahbaikan Smart Selangor Operation Centre (SSOC) yang berupaya untuk menghantar amaran awal bencana menjelang tahun 2025 dan Pembangunan Pelan Tindakan Pengurusan Bencana yang menggariskan persediaan terhadap pengurusan bencana, tindak balas dan pemulihan dengan tumpuan kepada tadbir urus serta komunikasi yang efektif.
Selain itu, melaksanakan projek infrastruktur mitigasi banjir termasuk mengenal pasti pendalaman sungai, pembinaan dan penaiktarafan tampungan sungai serta kolam.
Sumber: Malaysia Gazette
Comments