top of page

Kolam bawah tanah tangani impak banjir kilat


Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan strategi baharu dalam usaha tebatan banjir di Lembah Klang menerusi pembinaan takungan air bawah tanah.

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan strategi baharu dalam usaha tebatan banjir di Lembah Klang menerusi pembinaan takungan air bawah tanah.


Usaha berkenaan bertujuan mengurangkan impak banjir kepada warga kota dan sekitarnya berikutan kawasan yang ada untuk membina kolam takungan banjir adalah terhad di Lembah Klang.


Sehingga ini, sebuah projek kolam takungan banjir bawah tanah sedang dibina di bawah padang Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini manakala sebuah lagi dalam proses reka bentuk di Sungai Kuyuh, Seri Kembangan.


Projek di PULAPOL itu membabitkan kos RM30 juta.


Apabila siap dan beroperasi pada tahun depan, ia akan berupaya mengurangkan impak banjir kilat akibat limpahan air sungai, khususnya di Lembah Klang kerana berupaya menampung limpahan air dari Sungai Bunus.


Kaedah operasi kolam takungan itu sama seperti kolam takungan banjir di permukaan yang mana berfungsi untuk mengumpulkan air hujan sebelum dialirkan ke sungai mengikut prosedur operasi standard.


Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) JPS, Amiruddin Alaldin berkata selain itu, sebuah lagi projek menggunakan kaedah sama akan dibangunkan di Sungai Kuyuh, Seri Kembangan yang kini baharu di peringkat reka bentuk.


Mengulas lanjut katanya, bagi pembinaan projek di PULAPOL, kolam penyimpanan air di bawah tanah itu mempunyai kapasiti simpanan sebanyak 109,000 meter padu air dengan keluasan 10,155 meter persegi.


"Pendekatan ini kita sudah kita guna pakai ketika pembinaan Terowong Jalan Raya Dan Pengurusan Air Banjir (SMART) pada 2007 dan untuk projek kali ini ia menggunakan keseluruhan tenaga pakar tempatan.


"Penggunaan sistem takungan dan pam adalah sama, ia berfungsi untuk mengurangkan kemuncak banjir dan ketinggian air," katanya kepada BH.


Bulan lalu, beberapa kawasan di Lembah Klang dinaiki air akibat banjir kilat selain tanah runtuh di Taman Melawati, selain penutupan Lebuhraya SMART sebagai persediaan operasi banjir.


Antara kawasan yang terjejas akibat banjir di ibu negara adalah kawasan sekitar Parlimen termasuk Jalan Parlimen menuju ke Bukit Aman (Kuala Lumpur), susur Jalan Duta dan Jalan Sultan Abdul Halim, kampus Universiti Malaya, Wisma Central dan Sekolah Kebangsaan Padang Jawa, Shah Alam.


Kurangkan limpahan air

Amiruddin berkata peranan kolam takungan banjir atau penyimpanan air adalah sangat penting dalam mengatasi masalah banjir.


Katanya, kolam takungan air berupaya membantu mengurangkan limpahan air dari sungai atau hujan sehingga 40 peratus sewaktu kejadian hujan lebat.


"Contoh kita lihat Putrajaya yang dibangunkan melalui pendekatan bandar moden yang serap air dan kurang berlaku banjir kerana banyak tasik, kolam dan taman yang mampu menyimpan dan menyerap air.


"Namun di Lembah Klang, kawasan lapang semakin berkurangan dan tiada ruang untuk membina kolam takungan banjir di permukaan.


"Justeru strategi seterusnya adalah dengan membina lebih banyak lokasi penyimpanan air di bawah tanah," katanya.


Di Lembah Klang, ada 33 kolam takungan banjir, dengan 18 diselenggara oleh JPS manakala 15 lagi diselia oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Katanya, pembinaan kolam penyimpanan air di bawah tanah dilihat paling relevan pada masa ini berbanding melaksanakan kerja pelebaran sungai dalam mengatasi banjir terutama di Lembah Klang.

Projek penyimpanan air bawah tanah yang sedang dibangunkan JPS di PULAPOL. - Foto ihsan JPS

Pada Jun 2022, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata DBKL bercadang membina ruang takungan air bawah tanah sebagai persediaan jangka panjang untuk berdepan risiko cuaca ekstrem di ibu negara menjelang 10 tahun akan datang.


Katanya, cadangan itu alternatif kepada kolam takungan air sedia ada yang dibina di permukaan tanah yang sering dilapor mencapai kapasiti maksimum ketika hujan lebat berterusan.


'Lembah Klang tenggelam jika 4 juta meter padu air tidak dilencongkan'

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melencongkan lebih empat juta meter padu air ketika insiden banjir kilat yang menyaksikan ibu kota lumpuh pada 15 Oktober lalu.


Tiga sistem takungan air di Lembah Klang ketika itu berupaya 'menampung' air sehingga lebih empat juta meter padu air membabitkan takungan di Lencongan Gombak dan Lencongan Keroh, yang menampung air dari Sungai Gombak dan Sungai Keroh, di sini.


Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) JPS, Amiruddin Alaldin, berkata selain itu, Terowong Jalan Raya Dan Pengurusan Air Banjir atau Terowong SMART turut menyimpan 2.45 juta meter padu air pada 15 Oktober lalu.


"Jika lebih empat juta meter padu air ini tidak 'dibawa' pergi (dilencongkan), Lembah Klang akan tenggelam seperti mana banjir buruk yang berlaku pada 2007 iaitu sebelum Terowong SMART beroperasi," katanya kepada BH.


Beliau berkata, empat juta meter padu air yang 'diselamatkan' daripada menenggelamkan Lembah Klang itu adalah seperti sebanyak 1,616 kolam renang bersaiz Olimpik.


"Insiden banjir kilat yang melanda Lembah Klang baru-baru ini adalah kerana taburan hujan yang diterima berada dalam kategori sangat lebat dengan sembilan stesen hujan di Kuala Lumpur merekodkan bacaan melebihi 60 milimeter (mm) per jam bagi tempoh antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.


"Ia adalah akibat peralihan monsun yang menyaksikan ketidaktentuan cuaca di mana hujan akan berlaku dengan lebat tapi dalam tempoh masa sekejap dengan rekod tertinggi dicatatkan adalah di stesen hujan Sungai Bunus di Jalan Tun Razak iaitu 113.5mm sejam pada jam 9 pagi hingga 10 pagi.


"Jika lebih empat juta meter padu air ini tidak 'dibawa' pergi (dilencongkan), Lembah Klang akan tenggelam seperti mana banjir buruk yang berlaku pada 2007 iaitu sebelum Terowong SMART beroperasi," katanya kepada BH.


Beliau berkata, banjir kilat di Lembah Klang boleh berlaku disebabkan dua faktor iaitu limpahan air sungai ataupun disebabkan oleh masalah di sistem saliran.


Comments


bottom of page