top of page

KMDI yakin mampu bina rumah PPRT


KMDI yakin mampu bina rumah PPRT Sinar Harian www.sinarharian.com.my
Gambar hiasan: Rumah PPRT

KMDI Harta Berhad melalui anak syarikat miliknya KMDI HOLDING SDN BHD berazam untuk melaksanakan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan kadar kos terendah RM56,000 seunit.


Pengarah Perumahan dan Sumber Asli Kumpulan KMDI, Shahkeer Azzat Zailan berkata, pihaknya akan berunding dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengenai kos pembinaan rumah PPRT.


“Kami akan berunding dengan KPLB dalam masa terdekat untuk menyatakan bahawa KMDI sanggup untuk melaksanakan rumah PPRT dengan harga RM56,000.


“Pihak KMDI juga akan membantu mana-mana kerajaan negeri yang bermasalah dengan pembinaan rumah mampu milik.


“Kami mempunyai kilang IBS sendiri dan mampu melaksanakannya,” katanya.


Baru-baru ini timbul isu beberapa kontraktor rumah menolak untuk membina rumah PPRT pada harga RM56,000 kecuali jika harga dinaikkan RM67,000.


Jelas Shahkeer, pihaknya mampu melaksanakan rumah kos PPRT pada harga yang rendah kerana KMDI memilik kilang IBS sendiri di Kuantan dan Batu Pahat.


Kilang ini mengeluarkan bahan binaan sendiri seperti batu bata, besi dan siling.


Dalam pada itu, dengan keupayaan pengeluaran bahan binaan, ia sekali gus membolehkan pihaknya melatih usahawan IBS.


Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, harga RM56,000 yang ditetapkan untuk membina satu unit rumah PPRT ketika ini tidak mencukupi susulan kenaikan kos bahan binaan.


Isu mengenai kos pembinaan ini timbul pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat yang menyatakan tiada kontraktor sanggup membina rumah PPRT pada harga tersebut.


Sehubungan itu, Kerajaan akan membuat garis panduan baharu terhadap rumah PPRT bagi memastikannya dapat dilaksanakan tahun ini.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page