top of page

KKR sedia program bantu rakyat tangani masalah jalan berlubang


KKR sedia program bantu rakyat tangani masalah jalan berlubang
Kementerian Kerja Raya (KKR)

SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) bakal menyediakan satu program dalam masa terdekat untuk membantu rakyat menangani masalah jalan berlubang di kawasan bandar dan luar bandar terutamanya jalan persekutuan.


Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna seperti kenderaan lebih muatan dan memperkasakan saluran maklumat sedia ada untuk sebarang aduan berhubung isu berkenaan.


“Memang saya akui kita mengalami masalah jalan raya berlubang di negara ini. Justeru, pihak KKR telah menyediakan beberapa saluran untuk rakyat membuat aduan.


“Hal ini supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat kenal pasti di mana kawasan jalan berlubang tersebut dan ambil tindakan dengan cepat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.


Ujarnya, ramai dalam kalangan rakyat tidak mengetahui atau keliru dengan peranan KKR yang memberikan tumpuan lebih kepada jalan persekutuan berbanding jalan raya di kawasan luar bandar.


"Jalan persekutuan terletak di bawah seliaan kementerian atau JKR, terdapat juga jalan raya yang berada di bawah kategori kendalian kerajaan negeri, majlis daerah atau perbandaran," katanya.


Beliau menjelaskan, antara punca jalan raya diturap menjadi rosak atau berlubang adalah kenderaan lebih had muatan contohnya lori, musim tengkujuh dan kontraktor yang tidak membaiki semula jalan seperti sediakala selepas kerja penggalian tanah.


Ketika ditanya lanjut mengenai program yang bakal dilaksanakan, Nanta berkata, perkara tersebut sedang dalam perancangan dan akan dilaksanakan menerusi platform kementeriannya terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang awam.


Tambahnya, sebarang aduan berhubung masalah itu akan diambil tindakan segera dengan menghantar gambar dan maklumat lanjut di WhatsApp atau platform yang disediakan nanti.


“Kepada pengguna jalan raya, gunakanlah ia dengan sebaiknya dan jika ada ternampak jalan rosak, buat aduan dengan secara terbaik menerusi saluran yang ditetapkan,” kata beliau.


Sumber: Sinar Harian


KKR sedia program bantu rakyat tangani masalah jalan berlubang


Comentários


bottom of page