JERANTUT: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia menggerakkan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau 'Jambatan Bailey' ke seluruh negara untuk menghadapi musim tengkujuh.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara diramal berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya bermula September sebelum memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) antara November depan hingga Februari 2024.
Ketika ini, katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai simpanan JPKB sepanjang 600 meter di tujuh stor penyimpanan di seluruh Semenanjung dan ia sedia digunakan di kawasan yang terputus hubungan.
Tujuh lokasi itu membabitkan Alor Star di Kedah; Kinta di Perak; Petaling di Selangor; Kuala Pilah di Negeri Sembilan; Johor Bahru di Johor; Temerloh di Pahang dan Machang di Kelantan.
"JPKB ini bersifat sementara dan ia boleh dipasang siap dalam tempoh minimum 36 jam untuk dijadikan sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan yang terputus akibat bencana.
"Selain JPKB, sebanyak 2,580 aset jentera (Persekutuan dan negeri) seperti pacuan empat roda, jentera kaut, lori muatan tiga dan lima tan, jentera penyodok juga sedia digerakkan bagi tujuan pengangkutan petugas dan misi bantuan, pemantauan, pemulihan dan pembaikan infrastruktur, pembaikan cerun serta pemindahan mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Projek Menaik Taraf Laluan 64, Jalan Benta-Jerantut-Maran Fasa 1 hari ini.
Abdul Rahman berkata, cawangan Kejuruteraan Cerun JKR juga akan memeriksa dan memastikan sistem saliran cerun dalam keadaan baik dan mengenal pasti tanda awal kegagalan cerun di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri.
"Cerun kategori risiko tinggi dan sangat tinggi yang dikenal pasti akan diberi perhatian dengan kekerapan rondaan dan pemeriksaan akan dipertingkatkan," katanya.
Beliau berkata, Bilik Gerakan Bencana JKR juga akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pengurusan maklumat kejadian seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak serta runtuh, yang melibatkan jalan raya di bawah seliaan JKR.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui aplikasi aduan MyJalan yang boleh dimuat turun secara percuma.
Sumber: Berita Harian
KKR sedia gerakkan 600 meter Jambatan Bailey hadapi tengkujuh
Comments