KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) hari ini memulakan jelajah Pan Borneo yang bermula dari Kuching ke Miri bagi melihat secara menyeluruh kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo yang telah mencapai 97 peratus siap.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya memastikan laluan sepanjang lebuh raya itu betul-betul selamat dan selesa digunakan, sebelum dibuka sepenuhnya kepada orang ramai menjelang tahun hadapan.
Katanya program jelajah hari ini melibatkan perjalanan dari Kuching ke Sibu di bahagian tengah Sarawak, dengan rombongan berkenaan akan singgah di beberapa kawasan sepanjang perjalanan bagi melihat keadaan lebuh raya yang hampir siap itu, dan seterusnya perjalanan ke bandar Miri akan disambung pada keesokan harinya.
Beliau berkata demikian pada majlis Pelepasan Jelajah Pan Borneo di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Douglas Uggah berkata menerusi program jelajah itu pihak kementerian juga berpeluang untuk mengemas kini status terkini projek lebuh raya berkenaan terus kepada orang awam.
"Ada banyak maklumat yang kita ingin salurkan kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini Lebuhraya Pan Borneo. Sepanjang masa kita akan mengemas kini perkembangan mengenai pembinaan lebuh raya ini kepada orang ramai, ia adalah projek yang besar," katanya.
Jelajah Pan Borneo yang berlangsung selama dua hari itu akan menelusuri perjalanan sepanjang 816 kilometer (km), yang dijadualkan melalui kesemua 11 pakej kerja kontraktor (WPC) Lebuharaya Pan Borneo fasa 1, bermula dengan WPC02 laluan Kuching-Serian.
Sumber: Astro Awani
Comments