top of page

KKR, Kementerian Ekonomi sedang bincang projek Lebuh Raya WCE ke Gelang Patah


Gambar hiasan: Projek WCE

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Ekonomi berhubung pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai (WCE) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah.


Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perbincangan dilakukan selepas pengumuman mengenai perkara itu dibuat Perdana Menteri ketika Pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lepas.


“Buat masa sekarang, kita memperhalusi proses-proses sebab dah diumum. Jadi, dengan proses-proses ini, kita berhubunglah dengan Kementerian Ekonomi dan sebagainya.


“Semua ini perlu di peringkat Kementerian Ekonomi dan sebagainya untuk kelulusan, seterusnya dan kerja-kerja sama ada bagaimana nak melaksanakannya, buat jajaran yang tepat sebagaimana kerja-kerja yang sepatutnya,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan aplikasi mudah alih Sistem e-Bencana, di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, di sini, hari ini. Hadir sama, timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan.


Ahmad sebelum ini berkata, projek lebuh raya berkenaan yang merentasi daerah di Pontian, Johor bakal memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada penduduk di jajaran berkenaan.


Antara manfaat bakal diperoleh penduduk adalah pelebaran dan penambahbaikan jalan raya di sepanjang kawasan berkenaan.


Selain itu, beliau berkata, limpahan ekonomi setempat dijangka berkembang dengan penawaran pekerjaan baharu termasuk pembukaan hentian rehat dan rawat, di samping capaian lebih mudah pengguna ke kawasan sepanjang jajaran itu yang akan membantu meningkatkan sektor pelancongan setempat.


Comments


bottom of page