KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bersedia mempertimbangkan untuk terbabit dalam projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan jajaran Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura.
Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata kemudahan jaringan hubungan bagi kedua-dua negara itu seharusnya dipertingkatkan terutama bagi membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik pelabur Malaysia-Singapura.
"Khazanah sudah sedia ada memiliki pelaburan besar di Johor. Kami sangat memahami dengan pelbagai projek infrastruktur yang sedang dibangunkan di negeri itu.
"Ia bukan hanya membabitkan projek RTS tetapi juga kemudahan lain seperti pengangkutan awam di Johor. Jadi, akan ada banyak lagi kemudahan serta projek yang akan dibangunkan di negeri itu," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Shahril Ridza berkata, Khazanah bersedia melihat peluang berkenaan (projek RTS) kerana ia adalah salah satu projek yang boleh mengintegrasikan dua negara.
"Saya juga fikir perlu ada lebih banyak sambungan (link) yang perlu diadakan antara Johor Bahru dan Singapura.
"Ia akan menyediakan lebih banyak manfaat terutama peluang perniagaan dan pelaburan antara dua negara," katanya.
Sebelum ini, Khazanah disebut-sebut akan dilantik kerajaan untuk meneruskan projek RTS.
Bagaimanapun, menurut sumber, setakat ini peranan Khazanah dalam projek itu masih belum diputuskan, namun dipercayai terbabit untuk membiayai atau mengendalikan operasi RTS.
Menurut sumber itu, difahamkan (Khazanah) mungkin dipilih oleh kerajaan tetapi setakat ini belum ada keputusan muktamad bergantung kepada perbincangan kedua-dua kerajaan.
Prasarana Malaysia (Prasarana) sebelum ini juga memaklumkan syarikat itu tidak lagi mengendalikan RTS.
Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali dipetik sebagai berkata, selepas perubahan kerajaan pada Mei tahun lalu, projek berkenaan diletak bawah Kementerian Kewangan.
Selain itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sesi soal jawab program Invest Malaysia 2019, minggu lalu juga berkata, Malaysia dan Singapura memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jambatan untuk memudahkan aliran trafik antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, berbanding Pulau Pinang yang kini merancang membina jambatan ketiga ke tanah besar dalam bentuk terowong, aliran trafik di Singapura adalah jauh lebih besar.
Sumber: Berita Harian
Comments