KUALA LUMPUR: IJM Corporation Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM158.28 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 berbanding RM794.89 juta pada tahun kewangan 2022.
Bagaimanapun, hasil bagi tahun itu meningkat 3.7 peratus kepada RM4.57 bilion daripada RM4.41 bilion dicatatkan pada tahun sebelumnya, kata pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2023, keuntungan bersihnya berjumlah RM23.05 juta, meningkat daripada RM1.47 juta yang dicatatkan sebelum ini manakala hasil bagi suku dalam tinjauan adalah 7.6 peratus lebih tinggi pada RM1.33 juta berbanding RM1.23 juta sebelum ini, katanya.
Bagi prestasi bahagian, IJM berkata pendapatan segmen pembinaannya untuk suku keempat tahun kewangan 2023 dan tahun kewangan 2023 masing-masing turun sebanyak 29.5 peratus dan 30 peratus, berbanding suku yang sama dan tahun fiskal sebelumnya.
"Kebanyakannya disebabkan oleh aktiviti pembinaan yang lebih rendah kerana beberapa projek utama telah disiapkan pada tahun kewangan sebelumnya manakala projek baharu diperoleh kini berada di peringkat awal kemajuan pembinaannya," katanya.
Ia berkata, hasil pembangunan hartanah untuk suku keempat tahun kewangan 2023 dan tahun kewangan 2023 masing-masing meningkat sebanyak 43.4 peratus dan 26.8 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya didorong oleh jualan kukuh pada tahun itu dan kemajuan kerja lebih tinggi bagi projek yang sedang dijalankannya.
"Penyiapan penjualan sebidang tanah perindustrian di Bandar Rimbayu juga menyumbang kepada segmen itu," katanya.
Melangkah ke hadapan, IJM menjangkakan tahun yang lebih baik pada tahun fiskal akan datang berdasarkan prestasi kukuh daripada semua bahagiannya.
Sumber: Berita Harian
Comments