top of page

Ketiadaan projek mega kaburi peruntukan mega


Gambar hiasan

DALAM Belanjawan 2025, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM6.7 bilion kepada Sabah dan RM5.9 bilion kepada Sarawak untuk meningkatkan infrastruktur dan merapatkan jurang pembangunan di kedua-dua negeri ini.


Walaupun usaha ini penting bagi memastikan pembangunan lebih inklusif, saya mempertikaikan sikap Kerajaan Persekutuan yang tampak mengabaikan negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis, yang turut menghadapi cabaran pembangunan yang mendesak.


Ini menunjukkan ketidakseimbangan yang jelas dalam agihan peruntukan yang seharusnya menghormati prinsip keadilan dan federalisme.


Negeri-negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia, khususnya Kelantan dan Terengganu, berdepan kekurangan infrastruktur asas, akses air bersih, jalan raya yang terhad, serta risiko banjir tahunan yang meruncing.


Jika Sabah dan Sarawak diutamakan kerana alasan keperluan pembangunan infrastruktur, mengapa negeri-negeri yang turut ketinggalan ini tidak mendapat peruntukan setimpal?


Sebagai contoh, negeri Pulau Pinang diperuntukkan dua projek besar iaitu pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTA Pulau Pinang) dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.


Pengembangan LTA Pulau Pinang bernilai RM1.5 bilion untuk meningkatkan kapasiti penumpang sehingga 12 juta setahun, penambahan 10 autogate, serta penempatan 30 Pegawai Imigresen baharu.


Di samping itu, projek LRT Pulau Pinang dianggarkan menelan belanja RM10.5 bilion dan meliputi laluan baru ke Tanjung Bungah, Air Itam, Butterworth, Kepala Batas, dan Simpang Ampat.


Meskipun ada kebimbangan mengenai kos tinggi dan potensi kerugian sehingga RM600 juta setahun, projek ini tetap diberikan prioriti oleh Kerajaan Pusat.


Malangnya, Kelantan dan Terengganu masih berhadapan pengulangan janji lama untuk projek infrastruktur asas, tanpa peruntukan komprehensif seperti di Pulau Pinang.


Beberapa negeri lain yang turut mendapat peruntukan termasuk:

  • Sabah dan Sarawak: Peruntukan pembangunan tertinggi dengan Sabah sebanyak RM6.7 bilion dan Sarawak RM5.9 bilion. Pemberian Khas Sarawak dinaikkan kepada 300 juta, dan 600 juta mulai 2025.

  • Johor: Projek pelebaran Lebuhraya PLUS, Projek RTS Johor-Singapura, dan pembinaan baraj serta takungan air.

  • Kelantan: Projek Loji Rawatan Air Machang dan pemanjangan landasan kapal terbang di Kota Bharu.

  • Selangor: Pembesaran Pelabuhan Klang dan projek tebatan banjir Sungai Langat.

  • Kedah: Pembesaran Kulim Hi-Tech Park dan Bangunan Tambahan Hospital Kulim.

  • Melaka: Pembinaan Pusingan U dan Pasar Besar Melaka Sentral.

  • ⁠Perlis: Jalan pesisir pantai ke Kuala Sanglang dan naik taraf Kompleks ICQS Wang Kelian.

  • ⁠Kuala Lumpur: Projek pemulihan bangunan bersejarah dan Lebuh Raya Istana-Kiara (LIKE).


Walaupun sesetengah negeri ini mendapat manfaat daripada pelbagai projek infrastruktur, peratusan agihan peruntukan kepada negeri-negeri di bawah Perikatan Nasional tetap menurun.


Kelantan mencatat penurunan 0.1 peratus, Terengganu turun 0.5 peratus, dan Kedah menurun 0.9 peratus, manakala Sabah dan Sarawak menerima kenaikan sehingga 3-4 peratus.


Ini bukan sahaja tidak seimbang, malah menimbulkan persoalan terhadap keadilan dan kesaksamaan dalam pengagihan peruntukan kewangan Kerajaan Pusat.


Saya mendesak agar Kerajaan Persekutuan memandang serius keperluan pembangunan semua negeri secara adil dan menyeluruh, tanpa memilih kasih berdasarkan faktor politik.


Negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional berhak menerima perhatian yang sama untuk memastikan infrastruktur dan pembangunan yang komprehensif, yang mampu mengangkat taraf sosio-ekonomi rakyat di negeri-negeri ini.


Ini penting untuk memastikan kesejahteraan ekonomi, mengatasi kemiskinan, dan menyediakan peluang yang setara.


Sebagai sebuah negara berkonsep federalisme, agihan peruntukan yang adil adalah asas penting untuk memastikan setiap negeri berkembang secara seimbang dan adil.


Saya menuntut Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat federalisme ini dan memberikan perhatian yang setimpal kepada setiap negeri.

projek m

Hanya dengan itu, Malaysia yang makmur dan adil dapat diwujudkan untuk kesejahteraan semua rakyatnya.


YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB

Ahli Parlimen Parit

5 November 2024 | 3 Jamadil Awwal 1446


Comments


bottom of page