KUALA LUMPUR: Kerjaya Prospek Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd menerima surat anugerah bernilai RM28.4 juta daripada Persada Mentari Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd.
Syarikat pembinaan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak adalah untuk pelaksanaan dan penyiapan kerja-kerja tapak dan kerja tanah.
Katanya, ia membabitkan pembinaan sistem asas cerucuk dan tukup cerucuk, pembinaan ruang bawah tanah dan semua kerja yang berkaitan untuk cadangan dua blok pangsapuri servis 35 tingkat di tanah yang ditambak (Kawasan Tebusguna Tanah) terletak di Seri Tanjung Pinang (Fasa 2A), Pulau Pinang.
"Kontrak ini dijangka bermula pada 18 Mei ini dan akan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan dari tarikh ia bermula.
Ini menjadikan jumlah kontrak dalam tangan dari awal tahun hingga kini untuk tahun 2021 kepada RM384.5 juta. Ia dijangka dapat memberikan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam setahun akan datang," katanya.
Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Datuk Tee Eng Ho, berkata pihaknya amat gembira apabila berjaya mendapat kontrak ketiga berturut-turut untuk tahun 2021.
Katanya, ia dijangka dapat memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan untuk tahun kewangan 2021 dan 2022.
"Selain kontrak ini, kumpulan memenangi dua kontrak pada bulan lalu berjumlah RM356.1 juta. Ini mencerminkan kemampuan kami untuk terus meningkatkan nilai kontrak dalam tangan walaupun sewaktu persekitaran yang mencabar.
"Kami akan fokus untuk menyampaikan semua kerja tepat pada waktunya dan memenuhi kehendak pelanggan sambil terus melakukan bidaan secara agresif untuk projek berkualiti yang dapat memberikan nilai kepada pemegang saham," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments