KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan, Kerjaya Prospek Group Bhd menerima surat anugerah daripada Persada Mentari Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O) bagi melaksanakan projek pembangunan di Pulau Andaman bernilai RM170.9 juta di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong, berkata kontrak itu membabitkan pembinaan dan pelaksanaan kerja utama untuk bangunan 45 tingkat.
Beliau berkata, pembangunan itu terdiri daripada blok 38 tingkat membabitkan 380 unit pangsapuri servis, tempat letak kereta bawah tanah dua tingkat dan tempat letak kereta bertingkat lima tingkat.
Projek itu, katanya akan disiapkan dalam tempoh 35 bulan bermula 18 Januari 2024.
"2024 akan menjadi satu lagi tahun untuk Kerjaya menunjukkan daya tahan dan keupayaannya sebagai peserta pembinaan yang terbilang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Eng Tiong berkata, kumpulan memulakan tahun ini dengan landasan yang kukuh disokong oleh anugerah pertama dan terbaharu itu.
Dengan anugerah itu katanya, buku pesanan tertunggak kumpulan kekal mencukupi pada RM4.5 bilion, yang akan memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang.
"Kerjaya yakin dengan rekod prestasi dan kepakaran untuk menambah projek perumahan bertingkat baharu tetapi akan berusaha untuk memanfaatkan peluang dalam kelas pembinaan lain juga," katanya.
Sumber: Berita Harian
Kerjaya Prospek dapat kontrak bina bangunan 45 tingkat
Comments