KUALA LUMPUR 9 Mei - Kerjaya Prospek Group Berhad mempunyai prospek cerah termasuk peluang kontrak pembinaan Menara Bukit Bintang City Centre (BBCC) atau BBCC Signature Tower setinggi 80 tingkat yang dijangka bernilai RM500 juta.
RHB Investment Bank berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Kerjaya Prospek bersama Samsung C&T bakal mempertimbangkan projek tersebut apabila tender dikeluarkan dengan masa tender yang tepat tidak diketahui.
"Samsung C&T sendiri mempunyai rekod prestasi dalam projek bangunan pencakar langit, termasuk Burj Khalifa dan Menara PNB Merdeka 118 dan oleh itu, penglibatan sedia ada KPG dalam BBCC mungkin membuka jalan bagi kerjasama dengan Samsung C&T untuk membida projek tersebut.
"Kami menjangkakan pakej untuk Menara BBCC yang setinggi 80 tingkat melebihi RM500 juta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Tambah RHB Investment, Kerjaya Prospek bukanlah asing kepada projek BBCC kerana kumpulan tersebut telah mendapat hampir RM600 juta kontrak dalam empat pakej dari pembangunan tersebut sebelum ini.
Katanya, masih terdapat beberapa pakej yang belum diberikan di bawah BBCC termasuk menara pejabat, menara perkhidmatan kediaman dan Menara BBCC.
"Baru-baru ini, kami melihat struktur sedang dibina di tempat yang sebelum ini dikenali sebagai pejabat jualan dan galeri BBCC (yang sepatutnya diubah menjadi Menara BBCC).
"Pada mulanya, kami menganggap struktur tersebut berkaitan dengan kerja-kerja untuk Menara BBCC tetapi setelah melihat papan pemberitahuan, kerja struktur tersebut adalah untuk mengubah pejabat jualan dan galeri menjadi ruang perniagaan sementara.
"Oleh itu, kerja-kerja untuk Menara BBCC masih belum ditenderkan," jelas firma penyelidikan itu.
RHB Investment juga mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran (TP) RM2.15 sesaham dan prestasi kewangan 1QFY24 dijangka kukuh.
"Pemangkin jangka sederhana kepada KPG berkemungkinan potensi penglibatan dalam menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (dijangka RM1.5 bilion)," ujarnya.
Sumber: Dagang News
Kerjaya Prospek berpeluang terlibat projek pembinaan menara 80 tingkat BBCC bernilai RM500 juta - RHB Investment
Comments