top of page

Kerjasama, perkongsian kekal kaedah percepat agenda hijau - PETRONAS


Kerjasama, perkongsian kekal kaedah percepat agenda hijau - PETRONAS
Petroliam Nasional Bhd (Petronas)

Kerjasama, perkongsian kekal kaedah percepat agenda hijau - PETRONAS

KUALA LUMPUR: Kerjasama dan perkongsian kekal menjadi cara yang sangat mungkin dilaksanakan untuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mempercepat agenda hijau susulan komitmennya ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.


Ketua Pegawai Kemampanan Petronas, Charlotte Wolff-Bye berkata kerjasama dan perkongsian bukan hanya eksklusif untuk peserta minyak dan gas malah juga diperluaskan kepada pengetahuan teknikal mengenai pengeluaran tenaga boleh baharu.


"Kami sedang meninjau teknologi yang baru bermula. Kita berusaha sedaya upaya. Maksudnya kami perlu berusaha berdasarkan rantaian nilai kos dengan rakan kongsi yang berbeza," katanya kepada kumpulan media Malaysia semasa lawatan media ke ibu pejabat Pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas di Brackley, United Kingdom baru-baru ini.


Beliau berkata Petronas telah mencapai banyak kemajuan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 25 peratus dalam tempoh mutlak pada 2030 dan telah mengurangkan lebih 18 juta tan pelepasan gas rumah hijau tahunannya setakat ini.


Petronas juga menetapkan sasaran jangka masa pendek untuk menghadkan pelepasan operasi kepada 49.5 juta tan bersamaan karbon dioksida menjelang 2024.


Wolff-Bye berkata perkara itu mungkin membuatkan ramai yang tidak percaya kerana industri ini terlalu besar dari segi pengeluaran.


"Kami telah melakukan pelepasan dengan begitu produktif dalam dekad yang lepas. Jelas sekali, kami tidak boleh meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini. Rancangan kami adalah untuk mengurangkan sebanyak mungkin pelepasan daripada pengeluaran," katanya.


Pada persidangan Energy Asia yang tamat baru-baru ini, syarikat minyak nasional itu telah menjalinkan kerjasama dengan pengendali tenaga Asean, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa untuk melancarkan Program Kepimpinan Metana (MLP) Sektor Tenaga ASEAN.


Petronas juga mengumumkan projek utama pengurangan metana dengan kerjasama Pertubuhan Sekuriti Logam dan Tenaga Jepun (Jogmec).


Inisiatif ini adalah sebahagian daripada 11 perjanjian kerjasama dengan pelbagai pihak yang ditandatangani semasa persidangan itu.


"Jika anda boleh mengurangkan pelepasan metana dan gas, anda juga boleh mengurangkan pemanasan global. Jadi, kami benar-benar menggandakan usaha berhubung perkara ini dan menetapkan sasaran sukar untuk mengurangkan pelepasan metana dalam beberapa tahun akan datang," katanya.


Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Petronas (Hiliran), Datuk Sazali Hamzah berkata Petronas kini bekerjasama dengan Eni S.p.A dari Itali dan firma bioteknologi Jepun, Euglena Co Ltd, untuk menubuhkan kilang penapisan bio di Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor pada 2026.


Beliau berkata perancangan itu kini berada pada peringkat reka bentuk dan kelulusan daripada pihak berkuasa dan ia dijangka dibangunkan menjelang akhir tahun ini.


Kilang penapisan bio dianggarkan menghasilkan 12,500 tong produk bahan api bio sehari dan di antara 600,000 tan dengan 650,000 tan setahun dengan kos pelaburan di antara RM600 juta dengan RM1 bilion, bergantung kepada reka bentuk.


"Tinggal menunggu masa sahaja lagi. Setelah siap, kami boleh menirunya untuk tempat lain. Kami mungkin menukar kilang penapisan sendiri contohnya di Kerteh, akan menjadi hab hijau. Jadi jika dilihat di Kerteh, ia akan menjadi alternatif besar pada masa hadapan. Inilah aspirasi kami.


"Kami mempunyai loji penapisan dan jana kuasa yang lama. Jika kami boleh menyambungkannya ke medan gas lama, semua karbon dioksida boleh dihantar ke sana dan seluruh kawasan itu boleh menjadi hab hijau," katanya.


Sazali berkata Petronas memperuntukkan kira-kira 20 peratus daripada jumlah perbelanjaan modal untuk meningkatkan penyahkarbonan dan tenaga boleh baharu dari 2022 hingga 2026.


Agenda yang lebih besar juga sedang menanti memandangkan Petronas turut berusaha untuk meningkatkan agenda penangkapan karbon menjelang 2030.


Sumber: Berita Harian


Kerjasama, perkongsian kekal kaedah percepat agenda hijau - PETRONAS


Bình luận


bottom of page