top of page

Kerja projek pembinaan awam dijangka terus rancak tahun ini


Kerja projek pembinaan awam dijangka terus rancak tahun ini
Nilai kerja dalam sektor pembinaan melonjak kepada RM36.8 bilion pada suku pertama -NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Kerja projek pembinaan awam dijangka terus rancak tahun ini

KUALA LUMPUR: Segmen kejuruteraan sivil terutamanya yang dilaksanakan di bawah perbadanan awam akan terus berkembang kukuh di tengah-tengah projek infrastruktur utama seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan potensi projek seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3), demikian menurut MIDF Research.


Dalam satu nota penyelidikan hari ini, firma penyelidikan pasaran itu kekal optimis terhadap sektor pembinaan pada tahun ini, didorong oleh perbelanjaan pembangunan lebih daripada RM90 bilion dan projek-projek oleh sektor swasta.


MIDF Research berkata, sektor pembinaan Malaysia, yang diukur dari segi nilai kerja dilaksanakan melonjak sebanyak 14.2 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024, tertinggi dalam tempoh lima suku tahunan.


Ia berkata, jika dibandingkan dengan suku sebelumnya, nilai kerja pembinaan meningkat sebanyak 7.7 peratus suku ke suku.


Katanya, dari segi jenis kerja, output kejuruteraan sivil yang merangkumi lebih 40 peratus daripada output keseluruhan, melonjak sebanyak 24.7 peratus tahun ke tahun, peningkatan dua angka selama tujuh suku tahunan berturut-turut yang juga pertumbuhan paling pesat sejak suku kedua 2021.


"Kerja kediaman berkembang sebanyak 11.5 peratus tahun ke tahun, pertumbuhan paling rancak dalam tempoh enam suku tahunan, manakala pembinaan bukan kediaman berkembang sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun selepas merekodkan penguncupan selama dua suku tahunan berturut-turut.


"Output bagi aktiviti pertukangan khas meningkat sebanyak 11.8 peratus tahun ke tahun," katanya.


MIDF Research berkata, dari segi pemilik projek, sektor swasta yang meliputi hampir 60 peratus daripada kerja pembinaan keseluruhan, berkembang sebanyak 10.1 peratus tahun ke tahun, tertinggi dalam tempoh tiga suku tahunan.


"Projek kerajaan meningkat sebanyak lima peratus tahun ke tahun dan output perbadanan awam melonjak sebanyak 41 peratus tahun ke tahun, kenaikan terbesar sejak suku kedua 2021.


"Pemacu utama bagu kerja perbadanan awam adalah kejuruteraan sivil, yang meningkat lebih daripada 60 peratus tahun ke tahun," katanya.


Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa nilai kerja dalam sektor pembinaan melonjak sebanyak 14.2 peratus tahun ke tahun, berjumlah RM36.8 bilion pada suku pertama 2024.


Nilai kerja yang dilakukan dalam sektor pembinaan meneruskan trajektori menaik berbanding 6.8 peratus pada suku keempat 2023.



Kerja projek pembinaan awam dijangka terus rancak tahun ini

Comments


bottom of page