top of page

Kerja pembersihan flat TUTA hampir selesai 60 peratus


Kerja pembersihan Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA)
Kerja pembersihan Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) giat dijalankan. - Foto NSTP/MARY VICTORIA DASS

Johor Bahru: Kerja pembersihan flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) selesai hampir 60 peratus setakat petang semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerja pembersihan flat berkenaan dijangka selesai dalam minggu ini.


Beliau berkata, ia merangkumi 44 blok membabitkan 4,085 unit di kawasan berkenaan.


"Pada jam 8 pagi Ahad ini akan diadakan program Johor Bersih di kawasan itu termasuk membersihkan sampah pukal," katanya ketika dihubungi.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim berkata, isu flat itu bukan perkara baru malah sebelum ini terdapat usaha diambil namun tidak menyeluruh.


Menurutnya, sekiranya tiada tindakan dilakukan, keadaan flat itu akan bertambah uzur dan timbul masalah paip dan pendawaian elektrik.


Katanya, proses baikpulih akan dilakukan secara berfasa bagi flat TUTA dan flat bermasalah lain di Skudai.


"Satu jawatankuasa khas ditubuhkan diketuai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi meneliti isu yang timbul.


"Malah kami juga akan melihat cara memupuk kesedaran penduduk untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan terbabit dalam aktiviti bergotong-royong daripada semasa ke semasa.


"Malah usaha juga akan dilakukan bagi memastikan penduduk bekerjasama dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) termasuk membayar yuran penyelenggaraan dan sebagainya.


"Kebanyakan masalah timbul berpunca daripada penduduk yang enggan membayar yuran penyelenggaraan flat," katanya ketika dihubungi hari ini.


Kira-kira 100 projek flat awam terletak dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); MBIP; Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPkU).


Daripada jumlah itu, lebih 50 peratus daripadanya berada dalam kategori bermasalah.


Selama ini tiada peruntukan khas kerajaan buat flat awam kerana ia kediaman swasta yang diuruskan penduduk menerusi JMB.


Lebih 70 peratus flat awam di Johor yang kebanyakannya disewa penghuni gagal mendapat bayaran penyelenggaraan bulanan mencukupi bagi membolehkan kontraktor melakukan kerja-kerja pembaikan.


Pada Isnin lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah di negeri ini.


Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.


"Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam 'reban ayam'," titah baginda menerusi suatu kenyataan.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page