Johor Bahru: Kerja baik pulih dan menaik taraf Zoo Johor yang berusia 95 tahun akan dimulakan pertengahan bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, semua kerja pembangunan semula Zoo Johor dijangka siap pada suku pertama tahun depan.
Menurutnya, pelbagai fasiliti akan dinaik taraf dan ditambah baik termasuk kemudahan tempat letak kereta.
"Saya sudah berbincang dengan kontraktor supaya mempercepatkan proses naik taraf ini supaya kita dapat membuka Zoo Johor ini kepada pengunjung.
"Pengunjung akan dapat lihat pintu masuk baharu dengan sistem tiket menggunakan sistem digital selain naik taraf parkir serta kita akan jadikan laluan ini jalan sehala.
"Setiap kerja baik pulih zoo ini memerlukan penelitian kerana haiwan-haiwan masih berada di dalam zoo," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.
Menurut Mohd Jafni, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyatakan kerajaan negeri komited dalam memastikan kerja baik pulih Zoo Johor itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Insya-Allah kerinduan rakyat Johor untuk berkunjung ke Zoo Johor ini akan terubat. Semoga Allah memudahkan segala urusan," katanya.
Pada tahun lalu, Mohd Jafni dilaporkan berkata, Johor bakal mempunyai sebuah lagi zoo yang akan dibina di atas tanah berkeluasan 20.2 hektar di Iskandar Puteri, manakala Zoo Johor di Jalan Gertak Merah yang juga zoo tertua di Malaysia akan dikekalkan.
Ketika ini, Zoo Johor ditutup sementara sejak 18 Oktober 2020.
Sumber: Harian Metro
Kerja naik taraf Zoo Johor bermula bulan ini
Comments