top of page

Kerja Menaiktaraf Stadium Darul Makmur Capai 90 Peratus


Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal ketika sesi lawatan ke Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.

KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerja-kerja menaiktaraf Stadium Darul Makmur kini berada pada fasa akhir dengan 90 peratus darinya telah selesai.


Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerja-kerja penaikantaraf yang bermula pada September lalu itu dijangka akan siap sepenuhnya pada Mac akan datang.


“Seperti yang saya umum pada tahun lalu bahawa Stadium Darul Makmur sedang ditransformasi dan salah satu elemen transformasi ini adalah menaiktaraf padang di Stadium Darul Makmur.


“Dan Alhamdulillah Kerajaan Negeri Pahang menyumbang sebanyak RM1.6 juta di mana RM1.1 juta merupakan sumbangan Kerajaan Pahang manakala bakinya iaitu RM500,000 merupakan sumbangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


“Dan kerja-kerja menaiktaraf ini telah bermula September baru-baru ini dan akan siap sepenuhnya pada Mac tahun depan. Maknanya dah bolehlah InsyaAllah digunakan sepenuhnya pada Mac tahun depan,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi lawatan ke Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.


Katanya lagi, dalam usaha menaiktaraf terbabit, terdapat dua elemen penting yang diketengahkan iaitu penukaran rumput padang stadium berkenaan dari Cowgrass kepada Bermuda Tifgrand dan juga sistem saliran di bawah padang ini termasuk 35 perenjis air yang berfungsi sepenuhnya.


Tambahnya, lagi terdapat beberapa transformasi lain juga dilakukan di stadium berkenaan antaranya mengecat baharu bahagian luar bangunan stadium dan menyeragamkan papan tanda kedai yang terdapat di luar stadium berkenaan.


“Sekarang saya bersama pihak stadium sedang memastikan tiada ruang kosong atau dewan kosong yang tiddak digunakan oleh stadium ini, atau terbiar.


“Jadi dewan-dewan yang selama ini terbiar kita sudah tambah baik dan dijadikan pusat sukan tempur seperti karate, silat, taekwando dan judo. Selain dijadikan pusat sukan tempur, ada bilik yang terbiar kita naiktaraf jadi suite room,” ujarnya lagi.


Beliau dalam pada itu memaklumkan telah membuat permohonan peruntukan sebanyak sekitar RM7 juta dari pihak KBS untuk menaiktaraf lampu limpah dan bumbung stadium berkenaan yang sudah berusia lebih 50 tahun.


“Perkara ini saya dah sampaikan kepada pihak KBS dan menteri, YB. Hannah Yeoh pada sekitar tiga bulan lalu untuk lampu limpah, bumbung bocor dan tempat duduk penonton yang masih rompong dengan keseluruhan sekitar RM7 juta.


“Pada saya, kita dah naiktaraf padang dan tambahbaik tandas surau menggunakan sumbangan Kerajaan Negeri. Jadi untuk selebihnya, kita minta Kerajaan Pusat kerajaan pusat bantu kita,” katanya lagi.


Sumber: Pahang Media

Comments


bottom of page