top of page

Kerangka Dasar Karbon Kebangsaan dibentang Jumaat ini


Kerangka Dasar Karbon Kebangsaan dibentang Jumaat ini
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Sim Kui Hian (kanan) mengadakan sidang media di Ruang Legar Bilik Mesyuarat di Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia, selepas mengadakan lawatan ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. NSTP/Nadim Bokhari

Kerangka Dasar Karbon Kebangsaan dibentang Jumaat ini

KUCHING: Kerangka Dasar Karbon Kebangsaan akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia Malaysian (MyCAC), Jumaat ini.


Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata mesyuarat itu yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri termasuk Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.


Beliau berkata, dalam pembentangan itu nanti, pihaknya akan memperincikan butiran usaha NRECC untuk melaksanakan dasar berhubung perdagangan karbon selewat-lewatnya menjelang penghujung tahun ini.


"Kita perlu melaksanakan Dasar Karbon Kebangsaan secepat mungkin, kerana sudah ada beberapa rundingan di peringkat antarabangsa dan kita lihat di beberapa negara lain sudah ada yang lebih ke depan (dalam hal perdagangan karbon).


"Soal perdagangan karbon ini ditimbulkan oleh beberapa kerajaan negeri dan NRECC di peringkat Kerajaan Persekutuan akan menjadi pemudahcara untuk menyediakan dasar khusus berkaitan karbon yang kita sasarkan dilaksanakan tahun ini," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lapan Projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) kepada Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.


RMKS yang dilaksanakan dengan peruntukan RM63 juta membabitkan projek koridor Sungai Batang Kayan di Lundu, Sungai Batang Balingian di Mukah, Batang Sadong di Serian dan Simunjan, benteng Sungai Baram di Rumah Panjang Naing di Miri dan Pekan Sabtu Oya di Mukah.


Nik Nazmi berkata, kerangka Dasar Karbon Kebangsaan yang akan dibentangkan itu tidak membabitkan pindaan perlembagaan tetapi hanya melakukan perubahan perundangan dan dasar.


"Buat masa ini, Rang Undang-Undang (RUU) tidak ada kerana ia hanya di peringkat dasar dan sekarang pasaran karbon sukarela memang ada kerana kita ada Bursa Carbon Exchange (BCX).


"Namun ada beberapa penambahbaikan yang sedang kita bincangkan dan adakan perbincangan menyeluruh dengan kerajaan negeri kerana mereka memainkan peranan penting (dalam soal perdagangan karbon) berikutan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri," katanya.


Ditanya kemungkinan ada RUU khusus untuk mengawal perdagangan karbon pada masa depan, Nik Nazmi berkata, ia tertakluk kepada hasil mesyuarat Jumaat ini.


"Mana yang perlu dibuat perundangan, yang mana di peringkat pentadbiran atau di peringkat dasar, itu kita perlu tengok hasil mesyuarat MyCAC nanti," katanya.


Sebelum ini, Abang Johari, meminta Kerajaan Persekutuan mengemas kini perundangan, khususnya berkaitan perdagangan karbon selari dengan peralihan negara kepada ekonomi baharu.


Abang Johari turut mencadangkan agar karbon diletakkan di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi bukannya di bawah bidang kuasa NRECC.


Mengulas mengenai cadangan itu, Nik Nazmi berkata, ia tidak dibincangkan secara spesifik dalam pertemuan mereka, hari ini.


Sumber: Berita Harian


Kerangka Dasar Karbon Kebangsaan dibentang Jumaat ini


Comments


bottom of page