
KUALA LUMPUR: Proses pemerolehan gerabak tambahan bagi tren elektrik (ETS) sedang dilaksanakan, selaras usaha meningkatkan kekerapan perkhidmatan itu terutama ketika hujung minggu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata ia membabitkan pemerolehan 10 set ETS dan 12 set 'three-car' komuter utara, masing-masing bernilai RM574 juta dan RM297 juta.
Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian sedang meneliti model perolehan terbaik, sama ada melalui perolehan tender atau secara sewaan kepada pembekal perkhidmatan.
Katanya, perolehan itu dibuat selepas mengambil kira permintaan sangat tinggi bagi perkhidmatan ETS terutama ketika hujung minggu.
"Kita tahu ramai ahli Yang Berhormat dari utara (Semenanjung) minta ETS ditambah dan saya bersetuju.
"ETS ini antara perkhidmatan paling popular Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), selain antara penyumbang utama keuntungan KTMB. Jadi, sudah pasti kita beri perhatian kepada perkhidmatan ETS.
"Bukan tak mahu tambah (kekerapan) ETS di hujung minggu, tetapi kapasitinya terhad, selain 'turn around' kereta api tak boleh terlalu cepat sebab perkhidmatan ini dari Kuala Lumpur ke Padang Besar membabitkan perjalanan sehingga enam jam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Siew Fok berkata, penjenamaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Terminal 1 dan 2 dibuat bagi tujuan pemasaran kemudahan itu dan tidak membabitkan peruntukan daripada kementerian berkenaan.
Katanya, ia dibiayai Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), selain cadangan itu diluluskan ketika Memorandum Jemaah Menteri bagi menentukan hala tuju berkenaan operasi antara kerajaan dan MAHB dibawa ke Kabinet, sebelum ini.
Selain itu, beliau mengakui, tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Aerotrain di KLIA yang berdepan gangguan baru-baru ini, sekali gus memberi imej buruk kepada negara.
"MAHB ketika ini sedang meneliti perkhidmatan (Aerotrain) sedia ada. Projek menambah baik sudah diberikan sejak tahun lalu, tetapi ia mengambil (beberapa) proses dan masa untuk siap sepenuhnya.
"Perolehan Aerotrain bukan melalui peruntukan kementerian, sebab itu ia tiada dalam peruntukan pembangunan kerana penyenggaraan dan pemerolehannya bawah tanggungjawab MAB," katanya.
Siew Fok berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pula secara dasarnya bersetuju mengekalkan kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) lantikan kontrak, sekurang-kurangnya selama lima tahun, mulai 2023.
Beliau berkata, tempoh itu dilaksanakan menerusi 'kaedah 2+3', selain kementerian sedang berurusan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi tujuan pelantikan secara kontrak.
"Dalam tempoh ini, kita akan terus mengadakan perancangan mengenai hala tuju pegawai kontrak bekas SPAD, selain menyediakan peruntukan RM31.76 juta bagi menampung emolumen mereka yang kini bertugas di pelbagai jabatan dan bahagian kementerian.
"Kita tahu selepas SPAD dimansuhkan dan diserap ke dalam kementerian, memang ada pakar yang kita perlukan. Kita akan pastikan kontrak lebih panjang dapat kita pastikan (untuk pakar berkenaan)," katanya yang juga Ahli Parlimen Seremban.
Mengulas lanjut, katanya, peruntukan bernilai RM15 juta yang disediakan bagi perbicaraan MH17 akan diselaraskan semula berikutan prosiding perbicaraan kes itu sudah selesai.
"Kerajaan sebelum ini, sudah salurkan peruntukan RM27.85 juta bagi sumbangan perbicaraan MH17, tetapi ia (prosiding) sudah diselesaikan dan dalam hubungan ini, kes ditutup sepenuhnya.
"Namun, belum ada keadilan terhadap mangsa dan kita akan teruskan isu ini melalui pelbagai platform, selain akan membincangkan kedudukan kerajaan bersama Wisma Putra.
"Sudah tentu hak dan apa yang berlaku kepada MH17 tidak dilupakan serta akan terus diperjuangkan supaya keadilan dikembalikan kepada mangsa," katanya yang juga Setiausaha Agung DAP.
Sumber: Berita Harian
Comments