KUALA LUMPUR: Kerajaan terbuka kepada cadangan pelaksanaan semula Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura selagi ia membabitkan pelaburan swasta, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan diputuskan kerajaan mengenai pembangunan HSR KL-Singapura selepas perjanjian projek berkenaan dengan Singapura disahkan berakhir pada 31 Disember 2021, sekali gus menyaksikan projek berkenaan terbatal secara sendirinya.
Katanya, kerajaan tidak menutup pintu terhadap sebarang cadangan membangunkan semula projek itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kebenaran untuk rundingan selagi pembangunannya tidak dibiayai kerajaan.
"Kami terbuka kepada sebarang cadangan selagi ia membabitkan pelaburan swasta. Ketika ini, tidak ada cadangan khusus yang diterima," katanya pada sidang media di Invest Malaysia 2023 anjuran Bursa Malaysia dan Maybank, hari ini.
Malaysia dan Singapura mula menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek itu pada 13 Disember 2016 tetapi menamatkan projek itu selepas mengalami beberapa kelewatan.
Projek yang membabitkan pembangunan sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.
Sementera itu, berhubung perkembangan projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Loke berkata, projek berkenaan sedang berjalan lancar.
Beliau berkata, kerajaan komited menyiapkannya mengikut jadual iaitu menjelang penghujung 2026 dan akan mula beroperasi pada 2027.
Mengenai cadangan pembinaan pelabuhan di Pulau Carey pula, Loke berkata, pembangunan pelabuhan ketiga di Pelabuhan Klang itu dijangka tidak menjejaskan persaingan pelabuhan sedia ada di situ.
Beliau berkata, Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) sudah membuat kajian selama dua tahun sejak 2019 mengenai cadangan pembinaan pelabuhan ketiga itu dan laporan menunjukkan bahawa ia boleh dilaksanakan selain amat sesuai dijadikan pelabuhan ketiga di Selangor.
Katanya, pembangunan pelabuhan Pulau Carey dijangka mengambil masa panjang iaitu untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang dengan fasa pertama pembinaan adalah untuk kegunaan kargo konvensional.
Sumber: Berita Harian
Comments