PARIT : Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan cadangan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar berhampiran Felcra Nasaruddin di Bota, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, berkata projek itu dicadang dibangun di atas tanah berkeluasan 1,618.74 hektar.
Katanya, lokasi yang dikenal pasti itu terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari tapak asal cadangan pembinaan lapangan terbang berkenaan. Katanya kajian awal tersebut dilaksanakan sebuah syarikat kejuruteraan infrastruktur antarabangsa yang berpusat di United Kingdom (UK), Colebrand International Limited.
“Syarikat ini telah mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini. Secara prinsipnya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sudah bersetuju dengan projek ini.
“Kini, kerajaan negeri mengadakan lawatan tapak bersama syarikat berkenaan bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka (berkenaan kesesuaian dan potensi lokasi untuk dibangunkan lapangan terbang itu),” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci anggaran kos cadangan berkenaan selain menjelaskan ia masih memerlukan beberapa kajian awal sebelum melaksanakannya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat berkenaan cadangan pembinaan lapangan terbang itu oleh Colebrand International Limited di Pejabat Tanah dan Daerah Perak Tengah, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengurus Besar Colebrand International Limited, Farid Idrus.
Selain itu, Mohamad Nizar menjelaskan cadangan tapak milik Felcra Nasaruddin, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) dan Kerajaan Perak yang diusulkan itu tidak melibatkan sebarang kawasan penempatan mahupun aktiviti penerokaan haram.
“Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu itu bukan untuk bersaing dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, sebaliknya ia sebagai pelengkap antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Farid berkata cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar itu dijangka memakan masa lebih lima tahun untuk dilaksanakan.
Katanya ia akan melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan proses kajian lapangan selama enam bulan, sebelum diteruskan kepada fasa kedua mencakupi proses pembinaan yang dijangka dijalankan selama lima tahun.
“Jadi pada fasa pertama ini, kami akan melakukan kajian lapangan terlebih dahulu yang akan diketuai pakar dari luar negara yang juga Pengarah Syarikat, Jim Scott. Kajian berkenaan akan melibatkan topografi, geografi, hidrologi dan ekonomi di kawasan berkenaan,” jelasnya lagi.
Sumber: Astro Awani
Kerajaan Perak, Persekutuan setuju secara prinsip lapangan terbang antarabangsa di Bota
Comentários