top of page

Kerajaan negeri sedia peruntukan khas baiki struktur tanah



IPOH - Kerajaan negeri memberi jaminan satu peruntukan khas akan disalurkan bagi kerja-kerja pembaikan cerun yang mengalami runtuhan hingga menjejaskan 10 kediaman penduduk di Taman Silibin Indah di sini sejak pertengahan Mei lalu.


Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerja baik pulih perlu disegerakan berikutan cuaca kerap hujan dan dibimbangi memberi impak lebih teruk terhadap struktur tanah di kawasan itu.


"Pejabat Tanah dan Daerah Kinta telah pun membuat permohonan peruntukan khas ini kepada kerajaan negeri.

"Pelan tindakan bagi kerja-kerja ini juga telah pun siap dan atas faktor keselamatan, saya yakin, peruntukan khas ini akan segera diluluskan untuk disalurkan kepada badan pelaksana yang terlibat sama ada pejabat daerah sendiri atau melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan runtuhan di lokasi kejadian hari ini.


Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menyegerakan proses kelulusan projek pembangunan berkenaan seperti melakukannya tanpa melalui tender terbuka.


"Kalau ambil tender akan melibatkan proses dokumen dan sebagainya yang akan ambil masa lebih lama.


"Katakanlah peringkat awal ini, RM100,000 diluluskan, maka JKR sudah boleh mula melantik kontraktor bagi tujuan kerja-kerja ini," katanya.


Dalam lawatan itu, penduduk turut mempersoalkan notis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang antara lain mengkehendaki penduduk terlibat mengosongkan kediaman dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaan notis hari ini.


Mengulas perkara itu, Mohd Zolkafly berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Datuk Bandar Ipoh dan keputusan lanjut akan dimaklumkan selewat- lewatnya esok.


"Mungkin atas apa yang berlaku ini, MBI berpendapat dari segi keselamatan penduduk, bukan untuk mengganggu-gugat atau menghalang penduduk," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page