top of page

Kerajaan minta maklumat terperinci pengambilalihan PLUS dikemukakan sekali lagi



KUALA LUMPUR: Kerajaan meminta supaya maklumat terperinci berhubung tawaran pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd dikemukakan sekali lagi oleh pihak yang berminat, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.


Beliau berkata, perkara itu diminta oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya segala maklumat dapat disemak semula sebelum kerajaan membuat sebarang kelulusan.


Bagaimanapun katanya, tiada tempoh masa ditetapkan untuk perkara itu dilakukan.


Setakat ini kerajaan menerima lima tawaran untuk mengambil alih konsesi lebuh raya PLUS, katanya ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam dan perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) kali pertama di sini malam tadi.

Sebelum ini dilaporkan Putrajaya mengesahkan ia menerima empat tawaran rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS iaitu Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.


Selain itu Kementerian Kewangan turut dilaporkan berminat untuk mengambil alih pegangan Khazanah dalam PLUS berikutan Putrajaya mahu mencegah aset penting itu daripada jatuh ke tangan syarikat swasta.


Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata dalam era perubahan teknologi yang sangat dinamik terutamanya di zaman Revolusi Industri 4.0 kini cabaran yang dihadapi juga semakin kompleks dan mencabar untuk kontraktor bumiputera.


“Justeru, saya menyeru kontraktor yang hadir pada hari ini terutamanya golongan belia agar terus meningkatkan produktiviti, kemahiran dan pengetahuan masing–masing dalam industri pembinaan melalui penggunaan teknologi terkini dan merebut peluang yang ada bagi meningkatkan daya saing di peringkat dunia.


“Sejajar dengan matlamat Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk industri pembinaan serta pendigitalan industri pembinaan, KKR memberikan tumpuan kepada penggunaan teknologi seperti sistem pembinaan secara industri, ‘Highway Information Modelling’ dan ‘Building Information Modelling’ dalam industri pembinaan,” katanya. - BERNAMA



Comments


bottom of page