top of page

Kerajaan lulus 23 projek pulih sungai, elak banjir di Machang


Gambar hiasan

MACHANG: Kerajaan meluluskan 23 projek pemulihan sungai berjumlah RM460,000 untuk mengurangkan risiko bencana banjir di daerah ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor, berkata ia sebahagian peruntukan keseluruhan bernilai RM6.4 juta diluluskan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi keseluruhan projek membaik pulih sungai di negeri ini.


Katanya, kesemua 23 projek berkenaan akan dijalankan kontraktor berdaftar dengan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) bermula minggu hadapan.


"Antara projek dilaksanakan ialah kerja pemulihan sungai untuk mengurangkan risiko banjir dan kerja berkaitan di Sungai Baka (Kampung Kok Kiak); Sungai Hala (Kampung Pangkal Changgong); Sungai Tanah Liat (Kampung Banggol Petai); Sungai Mas (Kampung Sungai Mas); dan Sungai Sat (Kampung Gelung Gajah).


"Projek dijalankan ini bertujuan mengatasi masalah banjir akibat sistem saliran dan alur tersumbat jika tidak diurus dengan baik.


"Bagi memastikan pelaksanaan 23 projek di Machang, kaedah perolehan digunakan adalah melalui sebut harga dan undian membabitkan projek berskala kecil dengan seramai 168 kontraktor membuat permohonan," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Undi Bagi Kerja-kerja Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) bagi Jajahan Machang di Dewan Majlis Daerah Machang di sini, hari ini.


Azami berkata, pemilihan kontraktor untuk menjalankan kesemua projek ini dilakukan secara undian bagi menunjukkan ketelusan kerajaan dalam memilih kontraktor melaksanakan projek diberikan.


"Kami berharap, kontraktor dipilih akan menggunakan peluang diberikan kepada mereka sebaik mungkin dan kita tidak mahu ada kontraktor yang sudah dilantik 'menjual' projek kepada pihak lain," katanya.


Dalam perkembangan lain, Azami berkata, projek tambatan banjir Sungai Golok untuk fasa pertama sedang berjalan, manakala fasa kedua pula sudah dibawa kepada kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan jumlah peruntukan RM1.5 bilion.


"Kami amat berharap permohonan ini dapat diluluskan kerana bimbang hakisan yang berlaku semakin serius, memandangkan tembok banjir di sempadan Thailand sudah siap sepenuhnya.


"Ini penting bagi menjaga kebajikan rakyat khususnya penduduk yang tinggal di sepanjang sungai yang berisiko setiap kali berlaku banjir," katanya.



Comentários


bottom of page