MACHANG: Kerajaan sedang menterjemah perancangan capaian Internet di seluruh negara, termasuk kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati jaringan komunikasi yang lebih baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia termasuk melakukan transformasi ke atas 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara sebagai pusat pendidikan bagi menangani masalah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
Mustapa berkata, PIK menjadi pusat sehenti bagi penduduk setempat untuk mendapatkan perkhidmatan digital serta khidmat nasihat, yang mana kini mempunyai lebih 65,000 ahli berdaftar dan hampir 240,000 orang menyertai program latihan yang disediakan.
"Transformasi PIK ini juga termasuk menjadikan ia sebagai pusat dagang keusahawanan. Seperti di Kelantan, sebanyak 70 PIK dipilih bagi usaha transformasi ini dan projek bermula pada tahun ini," katanya selepas meninjau projek menara komunikasi di Kampung Kubang Tebik, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Mustapa berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta untuk meningkatkan infrastruktur digital di negeri Kelantan sehingga 2022.
Beliau berkata, peruntukan itu membabitkan kerja menaik taraf 1,232 menara telekomunikasi, membina 85 menara telekomunikasi baharu dan meluaskan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi ke 54,904 premis.
Katanya, sebanyak 18 menara siap dibina pada April dan Mei lalu, iaitu masing-masing sebuah di Jeli, Tanah Merah serta Pasir Putih, dua di Gua Musang serta Bachok, empat di Machang, dan tujuh lagi di Pasir Mas.
"Semua menara ini berada di kawasan luar bandar sesuai dengan dasar untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan kampung. Apabila semua projek ini siap dilaksanakan, status liputan 4G akan mencapai 96.3 peratus pada tahun 2022.
"Sehingga kini terdapat 1,245 struktur menara selular di seluruh Kelantan yang meliputi 93.15 peratus untuk perkhidmatan 4G, 95.98 peratus bagi 3G dan 97.14 peratus untuk 2G.
Sementara itu, Mustapa turut melawat ke menara telekomunikasi yang mampu memberi liputan 4G dalam radius dua kilometer dan memanfaatkan lebih 600 penduduk di Kampung Kubang Tebit, di sini hari ini.
"Lawatan ini bertujuan memantau perkembangan projek bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur digital di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di negeri Kelantan.
"Pandemik COVID-19 menyedarkan semua pihakmengenai kepentingan pendigitalan. Sebagai contoh, anak-anak memerlukan akses kepada internet dan peranti digital untuk mengikuti kelas secara dalam talian atau lebih dikenali dengan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
"Justeru, kerajaan melancarkan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, di bawah agenda MyDIGITAL untuk memastikan pendigitalan dapat direalisasikan di seluruh negara. Satu tumpuan utama ialah meningkatkan infrastruktur digital menerusi JENDELA," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments