top of page

Kerajaan digesa tangani kenaikan harga bahan binaan


Kerajaan digesa tangani kenaikan harga bahan binaan Berita Harian www.bharian.com.my
Kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan pekerja asing akan memberi kesan yang berkekalan terhadap industri -NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) berharap kerajaan baharu mengambil langkah sepatutnya untuk menangani banyak isu yang melanda industri hartanah dan pembinaan.


Presiden REHDA, Datuk NK Tong, berkata antara isu semasa yang amat menekan ialah kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan pekerja asing, yang sekiranya berpanjangan akan memberi kesan yang berkekalan terhadap industri.


Beliau berkata, menyelesaikan isu itu juga membantu rakyat memperoleh lebih banyak rumah mampu milik dalam jangka panjang, selaras dengan agenda kerajaan.


Katanya, pembabitan dengan pihak pemegang taruh awam dan swasta adalah sudah dijalankan, tetapi pihaknya masih memohon campur tangan peringkat kerajaan supaya isu itu dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.


"REHDA Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


"Kami menantikan pengumuman Menteri Perumahan yang baharu, dan dengannya kami berikrar untuk bekerjasama serta menyokong yang mana saja kami boleh.


"Kami berharap hubungan kerja yang baik akan terus diperkukuh dan dipertingkatkan dengan menteri dan kerajaan baharu," katanya dalam satu kenyataan.


Tong berkata, persatuan itu juga akan berusaha untuk memastikan bahawa ahlinya menjalankan peranan pembinaan negara bagi menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti kepada rakyat dengan berkesan dan cekap.


Beliau berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO), REHDA Malaysia mengulangi ikrar bahawa tidak kira parti politik, persatuan dan ahlinya akan terus bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan kemampanan sektor hartanah termasuk perumahan serta untuk kemajuan negara, ekonomi dan semua rakyat Malaysia.


"Kami mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri mengenai keutamaan krisis kos hidup di negara ini, terutamanya cadangan subsidi yang disasarkan untuk mereka dalam kumpulan B40.


"Kami berharap dengan usaha berterusan kerajaan untuk menangani isu ini, satu penyelesaian bersepadu akan dicapai untuk manfaat rakyat berpendapatan rendah," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comentarios


bottom of page