PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan meneliti laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) berhubung cadangan Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman Baharu (NTIA) di Pulau Tioman.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beliau tidak boleh memberi sebarang ulasan buat masa ini sehingga laporan itu diteliti.
"Biar kami teliti terlebih dulu laporan EIA kerana saya tidak boleh ulas isu ini sebelum berbuat demikian," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan EIA membabitkan cadangan pembangunan NTIA yang dikatakan berisiko menyebabkan kerosakan fizikal kehilangan habitat hidupan marin di pulau berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, pembangunan NTIA di Pulau Tioman berisiko menyebabkan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat kepada ratusan hidupan marin di kawasan itu.
Laporan EIA oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti 120 spesies batu karang keras dan 12 spesies batu karang lembut di kawasan itu, termasuk 22 spesis akan terancam.
Selain itu, 125 spesies ikan direkodkan, 22 spesies rumput dan rumpai laut serta alga, selain turut menjadi habitat tujuh spesies mamalia, termasuk beberapa spesies penyu.
Laporan itu menyatakan, berdasarkan penilaian impak bagi fasa kuari dan penambakan bagi tujuan pembangunan NTIA, kehidupan marin yang terjejas akan menyebabkan kehilangan perkhidmatan ekosistem, peningkatan sedimen dan kekeruhan yang merosakkan batu karang serta tumpahan minyak yang akan menyebabkan toksik dan pengurangan oksigen terlarut dalam air.
Nik Nazmi berkata, keutamaan ketika ini adalah melindungi alam dan persekitaran di Pulau Tioman.
"Ia adalah kawasan marin yang sangat penting, jadi kita akan meneliti EIA secara terperinci serta cermat," katanya.
Sumber: Berita Harian
Kerajaan akan teliti EIA projek lapangan terbang Pulau Tioman
Comments