top of page

Keputusan mutlak penganugerahan projek LPB Fasa 1B di Sabah diputuskan MoF: Nanta


Nanta pada sidang media selepas majlis di Telaga Air, hari ini.

KUCHING: Keputusan mutlak untuk penganugerahan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LBP) Fasa 1B di Sabah diputuskan oleh Kementerian Kewangan (MoF) dan bukan kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) atau Jabatan Kerja Raya (JKR).


Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kebanyakan daripada projek di bawah fasa berkenaan yang disyorkan JKR Sabah dan dipersetujui KKR Sabah akan dikemukakan kepada pihak yang membuat keputusan mutlak iaitu MoF, khasnya bagi projek yang melebihi RM100 juta.


“KKR Sabah dan JKR Sabah menggunakan kaedah terbaik iaitu tiada kontrak yang diberi secara rundingan terus, atau tender terpilih di mana sekarang semuanya melalui proses pra kelayakan.


“Semasa proses ini kontraktor akan ditentukan sama ada layak atau tidak dan jika tidak layak mereka akan digugurkan dari awal serta tidak masuk dalam tender.


“Semua syor senarai yang layak akan dikemukakan kepada MoF, di mana di sinilah ia akan ada perubahan di mana MoF akan membuat keputusan mutlak, kami di JKR dan KKR tiada kuasa untuk memutuskan mana-mana pihak dan kita terima apa sahaja keputusan MoF,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Fasa Kedua IKMAS di Telaga Air di sini, hari ini.


Nanta berkata demikian mengulas laporan sebelum ini di mana Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin semasa Dewan Rakyat mendakwa penganugerahan projek LPB Fasa 1B kepada dua syarikat melanggar prinsip tadbir urus yang baik.


Beliau mendakwa syarikat berkenaan tidak melepasi proses pra kelayakan bagi projek itu.


“Jabatan Kerja Raya Sabah mengesyorkan lapan syarikat yang layak kepada pejabat KKR.


Kementerian mencadangkan salah sebuah syarikat yang disyorkan JKR Sabah.


“Malangnya syarikat yang tidak layak langsung ini diminta oleh pihak tertentu untuk dikeluarkan SST (Surat Setuju Terima),” kata Bung.


Bagaimanapun kata Nanta, kenyataan Bung itu hanya pandangan beliau tetapi JKR atau KKR Sabah telah melakukan proses yang lengkap dari semua aspek termasuk teknikal, kewangan dan sebagainya.  


Comments


bottom of page