top of page

Keperitan Baru ilham bina jajaran baharu Sarawak-Sabah


MIRI: Berjalan tanpa kasut selama tiga hari meredah belantara dari Long Semadoh ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas, bukanlah terlalu berat baginya dalam usaha menimba ilmu. Mungkin untuk kebanyakan generasi muda di bandar hari ini, pengalaman itu mungkin terus mematikan semangat untuk meneruskan langkah.


Namun, bagi Menteri Kerja Raya, Baru Bian, keperitan dan kesukaran hidup yang pernah dilalui ketika zaman mudanya, menjadi satu iltizam dan keazaman tinggi untuk mengubah masa depan keluarga dan masyarakatnya.


Justeru, sejurus dilantik jawatan penting dalam Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH), Baru berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengemukakan idea serta cadangan membina jajaran baru Pan Borneo menghubungkan Sarawak-Sabah, tanpa melalui Brunei, dengan niat menyediakan infrastruktur asas kepada penduduk luar bandar di utara Sarawak.


Ia bagi membolehkan pembinaan jalan raya berturap menggantikan jalan balak menghubungkan penempatan terpencil yang sebelum ini mustahil untuk dikunjungi.


Malah, Ahli Parlimen Selangau itu sanggup menaiki kenderaan dengan keupayaan pacuan empat roda lebih empat jam dari Miri ke Long Panai untuk melakukan tinjauan awal projek itu yang dianggarkan bernilai lebih RM4 bilion.


Sebagai Menteri Kerja Raya pertama menjejakkan kaki ke penempatan etnik Kayan tertua di Baram itu, beliau yakin pembinaan jajaran baru itu bakal mengubah landskap dan ekonomi penduduk luar bandar di utara Sarawak.


“Saya tahu keperitan hidup penduduk luar bandar Sarawak, kerana tiada rangkaian jalan raya yang baik seperti sekarang, Saya sendiri pernah berjalan tiga hari dari Long Semadoh untuk pergi menuntut ilmu di SMK Lawas.


“Saya dan rakan sekampung terpaksa bermalam di hutan belantara. Jika hujan kami berjalan tanpa kasut ke sekolah kerana jalan becak dan dibekalkan dengan hanya sepasang kasut,” katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.


Baru yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berkata, ratusan penempatan terpencil di Baram, Limbang, Lawas, Ba’Kelalan dan Bario bakal mendapat manfaat daripada projek jajaran baharu itu.


Beliau berkata, jajaran baru itu akan membuka banyak peluang ekonomi baru dalam pelbagai sektor di luar bandar Sarawak termasuk sektor pelancongan dan pertanian.


“Jika ada jalan raya yang baik, penduduk luar bandar boleh memajukan tanah dan memasarkan hasil pertanian dengan mudah berbanding sekarang,” katanya.


Beliau berkata, projek itu akan mula dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini dan antara projek yang akan menjadi keutamaan di kementeriannya untuk disiapkan awal.


Ketika ini, Kementerian Kerja Raya sedang mengenal pasti dan menentukan laluan yang bakal dilalui jajaran baru sepanjang kira-kira 400 kilometer itu.


Sumber: Berita Harian


23 views

Comments


bottom of page