top of page

'Kena manfaatkan Kuartes Pekerja Berpusat...jangan jadi projek gajah putih' - EXCO Johor


'Kena manfaatkan Kuartes Pekerja Berpusat...jangan jadi projek gajah putih' - EXCO Johor
Gambar hiasan

'Kena manfaatkan Kuartes Pekerja Berpusat...jangan jadi projek gajah putih' - EXCO Johor

JOHOR BAHRU: Pemaju dan kontraktor dalam sektor pembinaan serta pengilang di seluruh Johor, diarahkan menempatkan semua pekerja warga asing mereka di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) yang berdaftar dalam tempoh dua bulan.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, arahan itu selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).


Sehingga Disember tahun lalu, katanya, terdapat 276 CLQ dengan kapasiti 113,598 pekerja di negeri ini tetapi masih lagi terdapat penempatan yang tidak diisi dengan pekerja warga asing.


"Kita mahu kemudahan CLQ ini dapat dimanfaatkan supaya tidak menjadi satu projek 'gajah putih' satu hari nanti.


"Pada masa sama, saya meminta supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah memainkan peranan mengenal pasti lokasi penginapan pekerja asing di penempatan awam selain mengadakan operasi bersepadu bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri bagi tindakan serbuan ataupun kompaun bermula Mei ini dalam usaha memastikan tiada lagi pekerja asing yang tinggal di penempatan awam.


"Permasalahan penempatan pekerja asing dan aduan kacau ganggu di penempatan awam sering kali diajukan dan kita tegaskan perkara ini amat serius. Kerajaan negeri tidak akan sesekali berkompromi dalam menangani isu ini.


"Kita tidak mahu Johor terpalit dengan isu penempatan pekerja asing, penindasan ataupun sebarang tindakan yang akhirnya menjerumus kepada isu buruh paksa sehingga mencemarkan imej negeri, yang secara tidak langsung boleh menyumbang kepada kurangnya keyakinan pelabur asing datang ke Johor," katanya.


Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama Pengarah JTK Johor, Mohd Azmi Muhammud dan pihak pengurusan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) di Bangunan CLQ di Jalan Storey, di sini, hari ini.


Mohd Hairi berkata, pertemuan itu susulan beberapa kali aduan diajukan kepada pihaknya mengenai penempatan pekerja yang dikatakan bekerja di tapak pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link berada dalam keadaan tidak teratur dan kotor sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk sekitar.


Katanya, berdasarkan penerangan daripada pihak pengurusan MRT Corp, sehingga Disember tahun lalu, terdapat seramai 305 pekerja warg asing daripada tiga syarikat kontraktor ditempatkan di luar CLQ membabitkan sembilan alamat sekitar Taman Wadi Hana, Taman Abad, Stulang Laut dan Jalan Bukit Meldrum.


"Sehingga semalam seramai 401 pekerja warga asing sudah ditempatkan di CLQ yang boleh menempatkan maksimum sehingga 1,200 orang dalam satu-satu masa.


"Pihak pengurusan MRT Corp juga memaklumkan CLQ yang serba lengkap disediakan ini adalah percuma dan tidak ada sebarang kos atau bayaran dikenakan kepada syarikat, mahupun pekerja.


"Oleh yang demikian, saya memberikan tempoh masa dua bulan kepada pihak MRT Corp untuk memastikan syarikat kontraktor yang dilantik ini dapat memindahkan semua pekerja asing ke CLQ yang sudah disediakan," katanya.


Sepanjang tahun lalu sebanyak 38 aduan berkaitan penginapan pekerja asing direkodkan.


Dalam tempoh sama, sebanyak 276 permohonan penginapan diluluskan, membabitkan 113,598 kapasiti penginapan dan 462 unit penginapan.

Sumber: Berita Harian


'Kena manfaatkan Kuartes Pekerja Berpusat...jangan jadi projek gajah putih' - EXCO Johor

Comments


bottom of page