top of page

Kementerian Pengangkutan kaji cadangan projek ECRL disambung hingga ke Rantau Panjang


Kementerian Pengangkutan kaji cadangan projek ECRL disambung hingga ke Rantau Panjang
Sehingga kini kerja pembinaan ECRL di Kelantan sudah mencapai kemajuan sebanyak 75.8 peratus dan keseluruhan jajaran di negeri itu membabitkan sepanjang 43 kilometer (km). - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kementerian Pengangkutan kaji cadangan projek ECRL disambung hingga ke Rantau Panjang

Kota Bharu: Kementerian Pengangkutan mengkaji dan meneliti beberapa perkara sebelum cadangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung sehingga ke Rantau Panjang diputuskan.


Menterinya, Anthony Loke berkata, sambungan projek berkenaan iaitu dari Kota Bharu ke Rantau Panjang dijangka membabitkan kos sebanyak RM2 bilion.


"Hari ini saya melawat stesen kereta api di Rantau Panjang yang sudah lebih 20 tahun tidak digunakan bagi memudahkan saya memahami keadaan di sana.


"Ada cadangan daripada Kelantan yang mahu projek ECRL disambung dari Kota Bharu ke Rantau Panjang. Cadangan berkenaan saya terima dengan hati terbuka.


"Untuk itu saya melihat perlu ada kajian dan penelitian terperinci kerana ia membabitkan kos yang besar. Malah, landasan yang sekian lama tidak digunakan itu perlu dihidupkan semula," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Loke berkata, sekiranya mahu melihat potensi dari segi ekonomi, landasan ECRL mesti ada kesinambungan sehingga ke Thailand.


"Jika kita hanya berhenti di Rantau Panjang, ia tidak berbaloi kerana tidak memberi nilai tambah.


"Untuk itu kita juga perlu mengadakan perbincangan serta kerjasama dengan kerajaan Thailand dan sekiranya ianya positif, perkara itu akan diangkat untuk pertimbangan," katanya.


Media sebelum ini melaporkan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berharap projek ECRL dapat disambung sehingga ke Rantau Panjang.


Baginda bertitah, ia bertujuan bagi memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan selain mampu mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Thailand.


Sumber: Harian Metro


Kementerian Pengangkutan kaji cadangan projek ECRL disambung hingga ke Rantau Panjang

Comments


bottom of page