KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya bakal menerajui sistem Convene dalam mengendalikan mesyuarat pasca Kabinet dan mesyuarat utama kementerian secara digital.
Sistem berkenaan dilengkapi ciri keselamatan dengan keupayaan mengesan ketirisan maklumat daripada dokumen rahsia, selain berkesan mengedar minit mesyuarat pada hari sama mesyuarat berlangsung.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, berkata Convene adalah sistem pangkalan data berpusat berasaskan internet pada masa sebenar yang dilihat menepati aspirasi kerajaan dalam era Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).
Katanya, kementerian menyahut cabaran dengan meningkatkan kecekapan perkhidmatan, menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan membudayakan digital dalam setiap tadbir urus.
“Sistem itu menjimatkan penggunaan kertas dan cetakan, malah pengguna boleh mencapai mana-mana rekod sama ada lama atau baharu. Sebelum ini, minit mesyuarat mengambil masa tiga hari bekerja sebelum diedarkan.
“Kita turut menggalakkan permohonan lesen kontraktor yang boleh dibuat dalam talian,” katanya kepada BH selepas sesi lawatan dan ramah mesra bersama kakitangan daripada 14 Bahagian kementerian dan mengakhiri lawatannya di Bahagian Perancangan Korporat (BPK) kementerian itu, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Ong Gua Pak; dan Setiausaha Bahagian Perancangan Korporat KKR, Zureen Zubir serta dan Rakan KKR.
Syed Omar turut merasmikan Bilik Rehat dan Rawat BPK yang mendahului kementerian lain dalam penyediaan kemudahan seumpamanya kepada pegawai dan kakitangan awam.
Katanya, bilik berkenaan berfungsi menempatkan pegawai dan kakitangan yang berasa kurang sihat sebelum dibawa ke hospital atau klinik.
“Ia adalah aspek kebajikan yang disediakan kepada kakitangan selain inisiatif Gerobok Rezeki yang menyediakan keperluan asas seperti beras, gula, lampin bayi, susu dan lain-lain yang disumbangkan oleh warga kerja kepada kakitangan memerlukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Syed Omar berkata, amalan penggiliran kerja setiap tiga hingga empat tahun bagi jawatan strategik dan sensitif berkaitan perolehan dan pengurusan projek akan diteruskan.
“Definisi integriti bukan tertakluk kepada isu rasuah semata-mata tetapi juga meliputi komitmen kerja dan pengurusan masa yang baik.
“Kementerian sentiasa memastikan perolehan tender dibuat secara terbuka bagi memastikan persaingan sihat dan kompetitif dalam kalangan kontraktor tempatan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments