KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan kemampuan kewangan terhad menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan pelan induk tebatan banjir secara berperingkat dan mengikut keutamaan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penilaian keutamaan dalam aspek pelaksanaan projek tebatan banjir diberikan kepada negeri dan kawasan yang lebih berisiko.
"Bagi menyelesaikan masalah banjir, kita perlukan RM392 bilion (peruntukan keseluruhan) tetapi peruntukan kerajaan (berikan) tidak sampai kepada jumlah itu.
"Realitinya, kemampuan kewangan kerajaan terhad, sebab itu kita laksanakan projek mengikut keutamaan iaitu berdasarkan negeri dan kawasan, melalui maklumat daripada kajian yang dijalankan," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan V Ganabatirau (PH-Klang) yang ingin tahu usaha berterusan kerajaan dalam menangani isu banjir yang terus berlarutan dan semakin memburuk tahun demi tahun.
Mengulas lanjut, Fadillah hasil kajian kementerian itu menunjukkan 365 projek tebatan banjir perlu dilaksanakan mengikut kawasan bagi tempoh 2023 hingga 2100.
"Sebab itu ia perlu dibuat secara berperingkat. Misalnya di Klang, yang sedang dilaksanakan sekarang adalah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang di Sesyen 25, Shah Alam, di daerah Klang.
"Projek ini dilaksanakan dengan kos RM140 juta. Berdasarkan skop, projek ini akan mengurangkan risiko banjir membabitkan kawasan seluas 4,195.7 hektar, meliputi Jalan Batu 3, Shah Alam dengan seramai 192,279 penduduk akan mendapat manfaat daripadanya," katanya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata mengambil kira kekangan kewangan kerajaan, kerjasama semua pihak berkaitan amat diperlukan bagi memastikan masalah banjir di negara ini dapat ditangani sepenuhnya.
"Ada banyak punca yang menyebabkan banjir, antaranya banjir kilat yang disebabkan hujan lebat sehingga sungai atau parit tidak dapat menampung limpahan air. Jadi, ini memerlukan jalinan kerjasama di antara persekutuan, sama ada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya, (pihak berkuasa) peringkat negeri, daerah dan majlis perbandaran.
"Kita juga sudah ada projek (tebatan banjir) yang sudah siap dan sudah (dapat dilihat) ada kejayaan dari segi mengurangkan dan tangani risiko banjir, tetapi masih banyak yang perlu dilaksanakan.
"Ini semua bergantung kepada kemampuan kewangan yang ita peroleh. Kalau ikut jangkaan dengan kos RM392 bilion diperlukan dan mengambil kira peruntukan RM3 bilion diterima, 100 tahun baru dapat selesaikan (projek tebatan banjir)," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments