MARUDI: Penduduk Marudi bimbang berlaku masalah kelewatan terhadap projek pembinaan Jambatan Marudi bernilai RM75 juta yang sepatutnya sudah bermula Januari lalu.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, berkata sudah lebih enam bulan tender bagi projek itu diluluskan, namun setakat ini kerja pembinaan belum menampakkan sebarang perkembangan positif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu berkata, projek berkenaan begitu penting kepada ekonomi rakyat di kawasan Marudi, yang ketika ini bergantung kepada perkhidmatan feri untuk berulang alik ke Miri.
Beliau berkata, tempoh kontrak bagi pembinaan Jambatan Marudi menghubungkan pekan Marudi dan Miri adalah bermula daripada Januari tahun ini dan perlu siap Januari 2022.
“Sekarang tidak ada sebarang perkembangan memberangsangkan terhadap kerja pembinaan bagi projek itu. Jelas, sudah berlaku kelewatan.
“Saya bimbang projek ini akan berdepan masalah kelewatan sekiranya kerja pembinaan tidak dimulakan segera,” katanya ketika meninjau projek itu, di sini, hari ini.
Dr Penguang berkata, kerajaan negeri memandang serius terhadap projek berkenaan dan tidak akan bertolak ansur terhadap kontraktor yang gagal menyiapkannya.
Justeru, katanya, beliau akan lebih kerap melawat dan meninjau projek itu bagi memastikan kelancarannya supaya dapat disiapkan mengikut jadual.
Beliau berkata, projek itu menjadi keutamaan kerana ia akan memberi impak ekonomi yang banyak kepada penduduk di luar bandar Marudi.
Jambatan Marudi sepanjang 650 meter itu akan menyeberangi Sungai Batang Baram itu bakal memiliki dua lorong dan akan memendekkan tempoh masa perjalanan pengguna antara Miri dan Marudi.
Sumber: Berita Harian
Comments