KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan telah meluluskan jajaran alternatif bagi projek jambatan Palekbang-Kota Bharu dengan pembinaannya dijangka bermula Julai 2021 dan siap pada Disember 2023.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, jajaran asal iaitu Palekbang-Kampung Cina diubah kepada jajaran baharu Palekbang-Penambang adalah atas faktor untuk mengurangkan kos pembinaan.
"Ini juga adalah alternatif untuk menyuraikan trafik. Dulu (cadangan asal) melibatkan kawasan Kampung Cina yang padat dengan rumah, maka jajaran alternatif ini dapat mengurangkan sedikit pengambilan balik tanah.
"Ini adalah pilihan terbaik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di tapak projek itu berdekatan kawasan Kampung Penambang di sini, hari ini.
Turut serta dalam lawatan itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor.
Tengku Mohamed Faziharudean berkata, jarak jambatan antara Palekbang, Tumpat ke Penambang, Kota Bharu yang merentasi Sungai Kelantan itu adalah satu kilometer dan juga merupakan komponen sebagai penghubung ke beberapa lokasi utama seperti lapangan terbang dan pusat bandar.
Beliau berkata, projek berkenaan adalah di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan kos RM250 juta.
Rancangan untuk membina Jambatan Palekbang-Kota Bharu sejak 1996, bertujuan untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas setiap kali musim perayaan terutamanya di kawasan Tumpat dan Kota Bharu. - Bernama
Sumber: Sinar Harian
Comments