top of page

Kelantan kecewa lima projek utama tiada dalam Belanjawan 2020


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan kesal apabila lima projek besar diumumkan oleh Kerajaan Pusat di negeri itu, tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu.


Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, turut mempersoalkan bagaimana projek berkenaan mahu diteruskan, sekiranya ia tidak dimasukkan dalam belanjawan.


“Kalau dari segi prosedur, memang lima projek itu tidak akan berjalan kerana di mana mahu mendapatkan duit dengan kos besar... Kalau membabitkan jutaan ringgit, nak tarik dari mana.


“Jadi, lima projek berkenaan sekadar diumumkan saja. Besar harapan kita projek terbabit dimasukkan dalam Belanjawan 2020, namun apa yang diumumkan adalah pembinaan sebuah sekolah.


“Kalau tanya pandangan kita memang kesal kerana projek berkenaan diumumkan secara terbuka oleh Kerajaan Pusat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.


Pada 7 Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ketika lawatan ke Kelantan mengumumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan tambahan RM200 juta untuk pembangunan negeri itu, menjadikan peruntukan keseluruhan disalurkan kepada Kelantan menerusi Kajian Separuh Penggal RMKe-11 sebanyak RM1.4 bilion.


Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, lima projek pembangunan untuk rakyat di Kelantan diluluskan pada mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu.


Ia membabitkan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3); menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); laluan baharu Pasir Puteh - Machang - Jeli; Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai dan Jambatan Palekbang - Kota Bharu.



Comments


bottom of page