top of page

Kelantan harap 5 projek besar dimasukkan Belanjawan 2021


Gambar: Bernama

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan berharap pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat ini turut menyentuh lima projek besar di negeri itu yang sudah diumumkan tahun lalu.


Lima projek berkenaan adalah projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3); menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); laluan baharu Pasir Puteh - Machang - Jeli; Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai dan Jambatan Palekbang - Kota Bharu.


Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata beliau berharap peruntukan untuk semua projek berkenaan sudah disediakan.


"Memandangkan lima projek ini sudah diumumkan sejak tahun lalu oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kita berharap ia dapat diteruskan tanpa sebarang penangguhan.


"Perkara ini juga sudah diangkat ke peringkat tertinggi dan sebelum ini. Lima projek ini adalah permintaan segera kerana ia sudah diumumkan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Melawat Pameran Tiga Dekad Pentadbiran Kerajaan Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri, di sini, hari ini.


Pada masa sama, Mohd Amar turut berharap pembentangan Belanjawan 2021 juga memberi tumpuan bagi menangani COVID-19.


"Ini kerana COVID-19 adalah isu besar membabitkan seluruh dunia. Fokus kerajaan adalah untuk menangani pandemik berkenaan dan memulihkan ekonomi.


"Ini dua isu besar yang perlu diberi tumpuan selain isu-isu biasa," katanya.


Pada 7 Mac tahun lalu, Mohamed Azmin yang ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika lawatan ke Kelantan mengumumkan kerajaan Persekutuan meluluskan tambahan RM200 juta untuk pembangunan negeri itu, menjadikan peruntukan keseluruhan disalurkan kepada Kelantan menerusi Kajian Separuh Penggal RMKe-11 sebanyak RM1.4 bilion.


Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, lima projek pembangunan untuk rakyat di Kelantan diluluskan pada mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu.



Comentários


bottom of page