top of page

Kedudukan kewangan Widad kekal kukuh


Widad Group Bhd

KUALA LUMPUR: Widad Group Bhd yakin kedudukan kewangannya pada 2022 akan terus kukuh berdasarkan kepada jumlah kontrak dalam tangannya ketika ini.


Syarikat pembinaan dan pengurusan kemudahan bersepadu itu mempunyai kontrak dalam tangan bernilai RM1.6 bilion.


Pengarah Urusannya, Datuk Dr Mohd Rizal Mohd Jaafar, berkata daripada jumlah itu, 52 peratus atau RM832 juta disumbangkan oleh perniagaan dan konsesi segmen pengurusan kemudahan bersepadu (IFM).


Beliau berkata, sektor pembinaan pula menyumbang baki sebanyak RM774 juta.


"Kontrak dalam tangan ini dijangka membuatkan kumpulan sibuk untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dalam segmen pembinaan dan sehingga dua belas tahun untuk IFM dan segmen konsesi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohd Rizal berkata, berdasarkan jangkaan pemulihan aktiviti ekonomi di Malaysia dengan unjuran pertumbuhan 11.5 peratus dalam sektor pembinaan, WGB yakin dapat meningkatkan prestasinya secara berterusan.


Beliau berkata, ia juga berpotensi mengembangkan lagi perniagaan kumpulan menerusi tender dan pemerolehan perniagaan strategik pada tahun kewangan 2022.


Katanya, memandangkan Malaysia berada dalam fasa pemulihan, Widad menjangkakan lebih banyak projek dalam pasaran akan dibuka untuk tender.


"Strategi kami adalah untuk menambah buku pesanan pada setiap bulan yang mana merangkumi IFM dan projek pembinaan daripada pihak swasta dan awam," katanya.


Widad merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.41 juta selepas meraih pendapatan sebanyak RM52.04 juta pada suku pertama 2022.


Ia pendapatan tertinggi yang dicapai oleh kumpulan itu sejak terhentinya aktiviti ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19.


Prestasi kukuh juga ditunjukkan dalam garis asas, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak hampir tujuh kali ganda sehingga RM6.32 juta daripada tempoh yang sama sebelumnya seiring dengan pemulihan ekonomi dan margin PAT dua digit.


Mohd Rizal berkata, bagi tahun ini, WGB aka terus memberi tumpuan kepada perniagaan IFM, pembinaan dan syarikat konsesinya.


Beliau berkata, salah satu langkah terbaru kumpulan ialah cadangan pengambilalihan Palm Shore Holdings Sdn Bhd (PSHSB) pada harga RM35 juta.


PSSHB memegang konsesi Kem Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia.


Pemerolehan yang dicadangkan itu katanya akan mempelbagaikan perkhidmatan IFM serta menawarkan pangkalan pelanggan untuk memasukkan pelanggan pertahanan.


Sumber: Berita Harian

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page