Alor Setar: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Program Sentuhan Kasih memperuntukkan RM36.34 juta bagi melaksanakan 95 projek naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan awam di seluruh negeri ini.
Peruntukan itu akan disalurkan kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Antara projek yang akan diberi keutamaan untuk dilaksanakan dengan segera adalah menaik taraf pasar awam, baik pulih tandas, membaiki jalan rosak dan memasang lampu jalan.
"Ini adalah peruntukan yang besar sekiranya dimanfaatkan tanpa ketirisan dan pembaziran. Setiap peruntukan diberikan berdasarkan 'bajet mengikut prestasi', maka penting bagi majlis bandar raya, majlis perbandaran dan majlis daerah untuk pastikan setiap peruntukan dilaksanakan dengan sempurna.
"PBT juga perlu buat laporan analisis kos faedah dan penilaian pulangan pelaburan agar peruntukan ini sampai kepada rakyat dan menerima manfaatnya," katanya.
Peruntukan sebanyak RM4.2 juta bagi melaksanakan 13 projek menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam di kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Projek itu membabitkan pembinaan Dataran Kejat di Medan Selera Darul Aman, menaik taraf infrastruktur Pasar Malam Mergong Jaya, membina Dewan Dato' Syed Omar, menaik taraf lampu limpah dan padang bola sepak di Kompleks Mini Stadium Peremba serta menyelenggara beberapa kolam takungan dan sistem perparitan.
Semua peruntukan terbabit bukan dibuat berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung, sebaliknya ia adalah komitmen Kerajaan Madani untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Sumber: Harian Metro
Kedah terima 95 projek naik taraf dan selenggara
Comments