top of page

Kebersihan Melaka perlu ditingkatkan


MELAKA: Kerajaan negeri diminta menzahirkan slogan Melaka Berwibawa, ‘Pintar, Hijau, Bersih’ bagi memastikan Melaka kembali melonjakkan nama sebagai negeri terbersih dan terindah di negara ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, mendakwa tahap kebersihan di negeri kurang memuaskan sehingga mencacatkan imej negeri yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


Lebih mengecewakan, katanya, ialah keadaan jelik itu disebar luas oleh pengguna laman sosial.


“Melaka semakin kotor. Tahap kebersihan negeri menurun bukan disebabkan ‘rating’ tetapi rungutan di media sosial.


“Pada musim perayaan lalu, banyak sampah seperti plastik, botol, dan daun kering tidak diangkat, seolah-olah kerajaan negeri tidak memberi penekanan terhadap kebersihan,” katanya kepada BH, hari ini.


Bekas Ketua Menteri yang juga ketua pembangkang negeri itu turut memuat naik beberapa gambar tangkap layar daripada pengguna laman Facebook berhubung situasi kebersihan Melaka di Instagram miliknya, beberapa hari lalu.


Sementara itu, Ketua Menteri, Adly Zahari, menafikan kerajaan negeri tidak mengambil perhatian aspek kebersihan seperti dakwaan pengguna laman sosial.


Ditemui selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang, di sini, hari ini, Adly berkata, keadaan itu disebabkan pertukaran kontraktor pembersihan dan penyelenggaraan landskap sehingga menjejaskan usaha menjaga kebersihan dan keindahan di kawasan tertentu.


“Kebanyakan kontraktor sudah tamat kontrak dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kita mengambil sedikit masa untuk melantik kontraktor baharu.


“Tidak dinafikan sampah daun pokok yang kering menjejaskan kebersihan di tepi jalan dan pembersihannya memerlukan peralatan khas, namun saya harap semua tender melantik kontraktor baharu dilakukan dengan kaedah betul bagi memastikan kerja pembersihan dan keindahan dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.


Sumber: Berita Harian


Kommentare


bottom of page