top of page

Kapasiti air empangan di Sabah mampu bertahan untuk beberapa bulan


KOTA KINABALU 5 Mac - Kapasiti air di enam empangan di negeri ini masih beroperasi seperti biasa, namun hanya boleh menampung air beberapa bulan sahaja ekoran kemarau yang berpanjangan, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur (KPI) Sabah, Datuk Peter Anthony.


Beliau berkata masalah penurunan kadar pengeluaran air akibat kemarau yang sedang melanda telah menjejaskan beberapa kawasan di Sabah.


"Selain empangan, tangki simpanan kita juga hanya boleh bertahan beberapa bulan lagi. Saya juga mendapati masalah ini berlaku di kampung-kampung di kawasan pedalaman.


"Oleh itu, saya mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk menyalurkan bantuan air kecemasan untuk semua pihak yang terlibat. Namun kita ada sedikit kekangan dari segi penghantaran air kerana lori tangki tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses rawatan kumbahan menggunakan mikro organisme di Stesen Pam Pembetungan, Dah Yeh Villa, Likas dekat sini hari ini.


Beliau berkata kementeriannya menerusi JANS akan terus memantau mengenai masalah ini di seluruh Sabah dan berharap akan berlaku hujan dalam masa terdekat.


Mengulas mengenai lawatan di stesen pam berkenaan, Peter berkata pihaknya akan menambah sekurang-kurangnya tiga lagi petugas di setiap 11 stesen pam pembentungan di seluruh Kota Kinabalu bagi memastikan kerja-kerja di stesen pam berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur.


"Kini kontraktor yang telah dilantik juga sedang membaik pulih saluran paip kumbahan yang telah pecah dan menyebabkan limpahan di sekitar Likas, sehingga menyebabkan masalah bau di sekitar kawasan berkenaan.


"Saluran paip kumbahan yang perlu dibaik pulih adalah sepanjang tiga kilometer dan ia dijangka siap dalam tempoh tiga bulan," tambahnya.


Beliau juga berkata Jabatan Alam Sekitar dan Universiti Malaysia Sabah sedang menjalankan kajian bagi sampel air dari stesen pam berkenaan.


"Kini kita menggunakan mikro organisme untuk merawat kumbahan di stesen pam pembentungan berkenaan dan selepas keputusan kajian itu, kita akan berbincang mengenai cara yang lebih sesuai untuk merawat kumbahan itu," katanya. - BERNAMA\


Sumber: Utusan Online


Comments


bottom of page