top of page

Kajian projek LPT3 sudah lama siap, projek belum mula



KOTA BHARU: Pada 6 September 2022 media melaporkan kajian pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) selesai dijalankan dan telah dikemuka kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.


Kementerian Kerja Raya (KKR) dilapor menunggu tindakan selanjutnya daripada agensi berkenaan dan EPU.


Kerajaan sebelum itu meluluskan pelaksanaan pembinaan LPT3 dengan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta.


Cadangan pembinaan LPT3 melibatkan jarak 150 kilometer bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Tumpat.


Manakala pada 23 Februari 2023 Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilapor berkata, cadangan projek LPT3 akan dilaksana secara penswastaan menerusi kaedah permintaan cadangan (RFP) secara tender terbuka.


Bagaimanapun selepas dua tahun cadangan itu diketengahkan, ia masih belum lagi kelihatan menjadi kenyataan.


Berikutan itu Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berharap pembinaan LPT3 diberi perhatian serius kerajaan.


Baginda bertitah demikian ketika sambutan Hari Keputeraan baru-baru ini.


ADUN Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus berkata, titah Sultan Muhammad V perlu diberi perhatian serius kerajaan memandangkan jaringan pengangkutan di Kelantan agak ketinggalan.


“Titah tuanku perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia memberi kesan sangat besar kepada perkembangan sosio ekonomi Kelantan,” katanya di sini.


Menurutnya juga, projek LPT3 sudah lama diuar-uarkan kerajaan dan dibangkit berkali-kali Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, namun belum menjadi kenyataan sehingga sekarang.


Kata beliau, Kelantan sebelum ini banyak diketepikan daripada mendapat projek pembangunan ekoran perbezaan politik di antara Negeri dan Pusat.


“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana secara jelas membelakangi semangat Federalisme,” ujarnya yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan.


Comments


bottom of page