KUALA LUMPUR: Kajian bagi pelaksanaan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) sudah selesai dan diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) untuk tindakan selanjutnya.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata EPU akan membuat keputusan sama ada pembinaan itu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) atau RMK berikutnya, bergantung pada kemampuan kewangan kerajaan dan keutamaan projek di setiap negeri.
"Kementerian Kerja Raya hanya menjalankan kajian bagi memastikan kesan pembinaan sesuatu jalan itu kepada aspek sosial dan sebagainya.
"Sekarang, kita tunggu apa langkah seterusnya, termasuk dari segi peruntukan, bila hendak diberi peruntukan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia Ke-11 serta Kongres Persekutuan Jalan Antarabangsa Rantau Asia Pasifik keempat, di sini, hari ini.
Kedua-dua acara itu berlangsung serentak selama tiga hari bermula 11 sehingga 13 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Ditanya sama ada sektor itu berhadapan masalah kekurangan tenaga kerja, Fadillah berkata, masalah itu sudah mula berkurangan sejak pekerja asing mula dibenarkan masuk semula ke negara ini.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husain Awang, menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan LPT3, bagi merancakkan pembangunan negeri pantai timur.
Beliau berkata, projek itu sudah diluluskan pada 2019, merangkumi jarak 150 km bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan.
Sumber: Berita Harian
Comments